Seorang ahli perniagaan berputih mata apabila impiannya mahu memiliki kereta mewah telah menjadikannya mangsa penipuan.

Sehubungan itu, polis sedang memburu seorang lelaki bagi membantu siasatan kes penipuan urusan jual kereta Lamborghini Aventador S bernilai RM2.4 juta.

Baca Juga:

Memetik Buletin TV3, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima laporan dibuat seorang ahli perniagaan pada 19 Februari lalu.

Difahamkan seorang lelaki dikenali Lim Voi Heng menawarkan untuk menjual sebuah kereta Lamborghini Aventador S yang bernilai RM2.4 juta pada Jun 2020.

Dah 18 Kali Buat Bayaran, Ahli Perniagaan Cuma Dapat Gambar Dokumen Notis Sita Lamborghini
Sumber Gambar: Facebook Jabatan Siasatan Jenayah Komersil – JSJK PDRM

“Pengadu telah beberapa kali berjumpa lelaki itu dan turut memandu uji sebuah kereta jenis sama di sebuah syarikat permotoran beralamat di Puchong, Selangor,” katanya.

Selain itu, mangsa turut ditunjukkan borang import Kastam bagi membuktikan bahawa kereta yang ingin dibelinya telah diimport masuk ke Malaysia.

“Bermula 15 Jun 2020, pengadu telah membuat 18 kali bayaran ke akaun sebuah syarikat yang diarahkan oleh suspek.

“Bagaimanapun, pada Januari 2022, pengadu telah menerima beberapa gambar dokumen notis sitaan kereta Lamborghini yang ingin dibelinya,” katanya.

Menurut Ramli, lelaki itu juga berjanji akan menyelesaikan masalah itu dan menguruskan pendaftaran serta pindah milik kereta.

“Sehingga kini, mangsa tidak menerima kereta yang dijanjikan malah lelaki itu juga telah menghilangkan diri dan tidak lagi dapat dihubungi. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sehubungan itu, pegawai penyiasat sedang mengesan Voi Heng yang mempunyai alamat terakhir di sebuah pangsapuri di Taman Sungai Besi, Seri Kembangan, Selangor.

“Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berkenaan individu itu boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Ruzanna Khairion di talian 010-4425916,” katanya.

Sumber