Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat, baru-baru ini menjadi buah mulut netizen selepas kehadiran beliau rasmi penutup longkang di sebuah sekolah rendah tular di media sosial.

Upacara memotong reben tersebut, yang pada mulanya dilihat sebagai satu acara kecil, mendapat perhatian negatif apabila ramai yang melontarkan sindiran dan kritikan di atas tindakan itu.

Namun, Suhaizan tampil menjelaskan situasi sebenar di sebalik upacara tersebut, menyatakan bahawa majlis itu diadakan atas permintaan pihak sekolah yang mahu menunjukkan rasa terima kasih atas bantuan yang diberikan.

“Sekolah minta saya datang untuk lihat penutup longkang yang dibekalkan dan saya tidak mahu mengecewakan mereka,” jelasnya seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

Menurut Suhaizan, beberapa insiden pelajar terjatuh ke dalam longkang sebelum ini mendorong pihak sekolah untuk meminta bantuan bagi menyediakan penutup besi.

Melalui peruntukan dari pusat khidmatnya, penutup longkang untuk keempat-empat blok sekolah tersebut disediakan.

“Sekolah jemput saya untuk melihat penutup longkang yang disediakan sebagai tanda penghargaan. Saya hanya memenuhi permintaan dan menjadi tetamu yang baik,” kata Ahli Parlimen dari parti Amanah itu.

Majlis yang sepatutnya menjadi acara terhormat atas dasar keselamatan pelajar, bertukar menjadi bahan jenaka di media sosial.

Ramai netizen mempertikaikan keperluan mengadakan upacara rasmi hanya untuk menutup longkang, dengan ada yang merasakan tindakan itu berlebihan.