Ketua jurulatih Malaysia, Ahmad Jais Baharun tanpa berselindung memohon maaf atas kegagalan anak buahnya untuk sekali lagi muncul juara dalam Piala Dunia Sepak Takraw 2024, semalam.

Selepas dua kejuaraan dimenangi tempoh hari, Malaysia gagal mengulangi kecemerlangan tersebut selepas tunduk 1-2 kepada Thailand pada aksi final regu berpasukan.

Baca Juga:

Keputusan yang menyaksikan Malaysia terpaksa menunggu lebih lama dimana kali terakhir Malaysia menewaskan lawan tersebut dalam acara berpasukan pada Sukan SEA 1991 di Manila, Filipina.

“Saya bagi pihak pasukan kebangsaan memohon maaf kepada semua peminat kerana gagal memecah dominasi Thailand,” ujar Ahmad Jais menurut sumber laporan Bernama.

“Secara peribadi kita lihat beberapa elemen dalam permainan khusus bagi regu kedua dan ketiga.”

“Itu antara penyebab kita gagal memberi saingan kepada pasukan Thailand dan kita kena sedar bahawa tiada jalan mudah untuk pemain kita capai prestasi terbaik.”

Segalanya tampak berada di landasan terbaik buat kem negara pada mulanya selepas regu pertama dibarisi Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Farhan Adam berjaya menundukkan Siriwat Sakha, Varayut Jantarasena serta Poramet 9-15, 15-11, 15-13.

Kemenangan itu pada mulanya dilihat memberikan keyakinan tambahan buat regu kedua yang diwakili Haziq Hairul Nizam, Noraizat Nordin dan Amirul Zazwan Amir yang bermula baik.

Namun selepas itu trio tersebut dilihat cukup goyah berikutan aksi mantap ditampilkan Kritsanapong Nontakote, Pichet Pansan dan Wichan Temkort hingga membolehkan regu Thailand itu menang mudah 15-8, 15-5.

Pengalaman serta menyerap tekanan dengan baik meskipun beraksi dihadapan ribuan penyokong Malaysia jelas menjadi senjata utama buat Pornthep Tinbangnon (Sittipong Kamchan), Tanaphon Sapyen dan Marukin Phanmakon yang memastikan kejuaraan menjadi milik Thailand dengan kemenangan 15-12, 15-12 ke atas  Zuhri Zain (Zarif Marican Ibrahim Marican), Baihakki A’ripin (Muhammad Shahalril Aiman Halim) dan Aidil Aiman Azwawi.

 

 

Sumber