Bank paling besar di Singapura merancang untuk membuang 4,000 pekerjaan dalam beberapa tahun terdekat ini. Ini kerana bank tersebut akan menggunakan lebih banyak teknologi AI (kecerdasan buatan) untuk melakukan kerja-kerja yang selama ini dilakukan oleh manusia.

AI kini dilihat semakin pintar, di mana boleh buat kerja-kerja mudah macam urus fail, sampailah kerja yang kritikal sekalipun  boleh diselesaikan dengan pantas. Jadi, pihak bank merasakan tiada keperluan untuk miliki ramai pekerja manusia lagi.

ai
Sumber Gambar: Netcetera

Di tahun serba moden ini, kita sudah melihat bagaimana kerja buruh dan peranan setiausaha telah pun diambil alih dan kini bahkan pekerjaan yang memerlukan pemikiran kritikal pun tidak selamat lagi.

Jawatan untuk kelulusan PhD pun tak selamat

ai
Sumber Gambar: Noodle.com

Satu laporan mendapati bahawa AI mengancam untuk menggantikan jurutera perisian peringkat pertengahan dan jawatan-jawatan lain yang memerlukan kelulusan peringkat PhD.

Di dalam laporan lain oleh institusi Penyelidikan Dasar Awam (IPPR) menyatakan bahawa dalam ‘senario kes terburuk,’ lapan juta pekerjaan di UK mungkin hilang akibat kecerdasan buatan.

Robot AI humanoid yang makin ‘ngeri’

ai
Sumber Gambar: Bloomberg

Belum kira lagi, beberapa robot AI humanoid juga yang tampil semakin realistik dalam peranan mereka.

Terkini, DBS iaitu sebuah bank utama di Asia menjangkakan akan mengurangkan 4,000 jawatan dalam tempoh tiga tahun akan datang kerana teknologi mampu mengambil alih lebih banyak tugas yang dikendalikan oleh manusia.

“Pengurangan tenaga kerja akan berlaku melalui penguncupan semula jadi apabila jawatan sementara dan kontrak tamat dalam beberapa tahun akan datang,” kata seorang jurucakap DBS kepada BBC.

Sementara pekerja tetap pula dijangka tidak akan terkesan dengan pembuangan itu. Yang lebih mengejutkan, sebenarnya 1,000 pekerjaan baharu berkaitan AI dijangka akan diwujudkan, menurut Ketua Pegawai Eksekutif bank, Piyush Gupta.

Pengumuman ini menjadikan DBS sebagai salah satu bank besar pertama yang membincangkan secara terbuka bagaimana AI akan memberi kesan kepada infrastrukturnya.

Walau bagaimanapun, bank itu tidak menyatakan secara khusus jawatan mana yang akan terjejas.

DBS kini menggajikan sekitar 41,000 orang, termasuk 8,000 hingga 9,000 pekerja sementara dan kontrak.

Gupta, yang akan meletakkan jawatan pada akhir bulan Mac dan digantikan oleh timbalan ketua pegawai eksekutif Tan Su Shan, berkata DBS telah mengusahakan AI selama lebih sedekad.

“Kami hari ini menggunakan lebih 800 model AI merentasi 350 kes penggunaan, dan menjangkakan impak ekonomi yang diukur daripada ini akan melebihi $1 bilion ($745 juta  £592 juta) pada tahun 2025,” tambahnya.

Memang tidak dinafikan, AI telah menjadi mimpi ngeri buat sejumlah pekerja profesional di dalam industri teknologi dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Bagaimanapun, ada beberapa organisasi ekonomi dan perbankan percaya teknologi AI ini sebenarnya pada masa kelak bakal digunakan seiring dengan pekerja manusia dan bukan digantikan sepenuhnya kepada mesin.