Lebih 30% pekerjaan di Malaysia dijangka terjejas akibat kemajuan kecerdasan buatan (AI) dalam tempoh 10 tahun akan datang, menurut Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Memetik laporan The Edge, industri utama seperti pembuatan, perkhidmatan, dan teknologi maklumat bakal mengalami transformasi besar.
Beliau menekankan bahawa lebih 600,000 pekerja perlu menjalani latihan semula dalam tempoh tiga hingga lima tahun bagi memastikan mereka kekal relevan di tengah-tengah pasaran kerja yang semakin kompetitif.
Pada masa yang sama, Malaysia memerlukan tambahan 500,000 pekerja mahir menjelang 2030 bagi memenuhi permintaan sektor teknologi dan teknikal.
“Angka-angka ini menunjukkan betapa mendesaknya keperluan untuk membangunkan ekosistem latihan dan pensijilan yang berkesan,” kata Chang ketika pelancaran Pensijilan Pembangunan Profesional Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) di sini pada Selasa.
Menurut beliau, tenaga kerja negara perlu bersedia menghadapi perubahan ini dengan menumpukan kepada proses re-skilling dan up-skilling, khususnya dalam bidang teknologi dan teknikal, supaya Malaysia kekal kompetitif di peringkat global.
“Kerajaan aktif memastikan kursus dan latihan yang ditawarkan sejajar dengan piawaian antarabangsa dan keperluan Industri 4.0,” jelas Chang.
Kursus seperti keselamatan siber, pengurusan sistem pintar, dan analisis data menjadi fokus utama.
Untuk merapatkan jurang kemahiran di kalangan pekerja, Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi melalui MBOT telah menubuhkan Majlis Pembangunan Profesional Teknologi dan Teknikal (TPDC).
Majlis ini bertujuan membangunkan kerangka jaminan kualiti menyeluruh untuk kursus pendek dalam bidang teknologi dan teknikal.
Chang menjelaskan bahawa TPDC akan menilai kualiti tenaga pengajar, kandungan kursus, kaedah pengajaran, dan kaedah penilaian bagi memastikan kursus yang ditawarkan memenuhi standard profesional dan keperluan industri global yang sentiasa berubah.
“Latihan melalui kerangka TPDC ini akan diiktiraf oleh industri tempatan dan memenuhi piawaian profesional, memastikan kemahiran yang diperoleh pekerja selaras dengan kehendak global,” tambah beliau.
Presiden MBOT, Profesor Emerita Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir, berkata penubuhan MBOT adalah sejajar dengan matlamat Dasar Sains, Teknologi, dan Inovasi Negara 2021-2030.
Salah satu fokus dasar ini adalah untuk meningkatkan kecekapan dan profesionalisme modal insan dalam sektor teknologi dan inovasi.