Nampaknya semakin mudah untuk ke pulau Jeju selepas ini. Buat anda yang cintakan keindahan pulau Jeju, AirAsia X secara rasminya melancarkan laluan terus ke pulau Jeju dari Kuala Lumpur semalam.
AirAsia X menjadi satu-satunya syarikat penerbangan tempatan dengan penerbangan tanpa-henti antara Kuala Lumpur dan pulau terbesar yang indah di pesisir Semenanjung Korea Selatan ini. Jeju menjadi destinasi ketiga syarikat penerbangan ini di Korea Selatan selepas Seoul (Incheon) dan Busan.
“Laluan unik ini berpotensi untuk menghasilkan lebih daripada 156,000 kapasiti setahun bagi penerbangan di antara Kuala Lumpur dan Jeju dan sebaliknya disamping memberi kemudahan kepada para tetamu bagi yang sebelum ini terpaksa melalui transit domestik. Kini, para tetamu kami akan mempunyai kemudahan penerbangan terus tanpa henti untuk menikmati alam semula jadi dan landskap Jeju yang indah, budaya dan warisan yang pelbagai serta aktiviti rekreasi disini,” terang Pengerusi AirAsia X Malaysia, Tan Sri Rafidah Aziz.
Penerbangan empat kali seminggu yang ditawarkan antara Kuala Lumpur dan Jeju ini akan memperluaskan rangkaian syarikat penerbangan ini di Asia Utara. Jeju, sebuah pulau gunung berapi yang indah terletak 64km di selatan Semenanjung Korea Selatan sangat popular dan dikenali sebagai destinasi pilihan bagi pengambaran drama bersiri Korea Selatan.
Ia adalah pulau percutian yang paling popular di negara ini dengan lebih daripada 70% pengunjung menjadi pelancong domestik ke pulau yang telah dikenali sebagai “Hawaii Korea Selatan.” Pelancong dari Malaysia pula adalah kumpulan pelancong negara luar kedua terbesar yang melancong ke Jeju selepas pelancong dari negara China.
Bersempena dengan pelancaran laluan terbaru ini, AirAsia X menawarkan promosi tambang serendah RM249 sehala bagi tempat duduk ekonomi dan ianya tersedia untuk tempahan di airasia.com mulai sekarang sehingga 19 Disember 2017 untuk penerbangan dari 16 Disember 2017 hingga 27 Oktober 2018. Tempat duduk Premium Flatbed yang telah memenangi pelbagai anugerah juga ditawarkan untuk tempahan dengan promosi tambang sehala termasuk semua dari serendah RM799.
Kalau anda sukakan bunga, tempahlah ketika musim bunga (Mac-April). Jika anda mahu rasa sejuk dan salji, tempahlah ketika musim sejuk (Disember). Jeju memang sebuah pulau yang sangat indah dan orangnya baik-baik belaka. Artikel khas untuk Jeju ini akan menyusul sedikit masa lagi. Kena tunggu dan sebelum itu, tag travel skuad anda untuk jadikan Jeju destinasi travel anda untuk tahun hadapan.
Baca: Itinerari 10 Hari Ke Lokasi K-Drama Di Jeju, Busan Dan Seoul Buat Peminat KPop