Pada pagi ini, Apple memulakan acara utamanya dengan memperkenalkan generasi ketiga fon kepala nirwayar mereka, AirPods Pro 3.
Pelancaran ini tiba tiga tahun selepas model sebelumnya, AirPods Pro 2, diperkenalkan.
Walaupun tiada perbezaan yang ketara di dalam rekaannya tetapi spesifikasi kali ini jauh lebih menarik untuk memberikan nilai yang lebih berbaloi buat pengguna.
AirPods Pro 3

Dari segi reka bentuk luaran, AirPods Pro 3 tidak banyak berubah dan masih mengekalkan penampilan yang hampir sama dengan model terdahulu. Namun, ia kini didatangkan dengan lima pilihan saiz eartip untuk padanan yang lebih selesa. Ia juga mempunyai penarafan IP57 yang menjadikannya kalis air dan peluh.
Seperti biasa, fon kepala ini dilengkapi pembatalan hinggar aktif (ANC), yang membolehkan pengguna fokus sepenuhnya pada audio yang didengar tanpa gangguan bunyi sekeliling.
Apple menyatakan ciri Pembatalan Hinggar Aktif (ANC) baharu ini mampu mengurangkan bunyi bising dua kali ganda lebih baik berbanding model sebelumnya. Selain itu, rekaan dalaman yang dikemas kini sedikit kini memberikan keselesaan yang lebih baik, terutamanya semasa melakukan aktiviti kecergasan dan bersenam.
AirPods Pro 3 kini dilengkapi dengan sensor PPG yang memancarkan cahaya inframerah 256 kali sesaat untuk mengesan kadar denyutan nadi pengguna. Ciri ini sangat berguna terutama semasa melakukan aktiviti fizikal.
Dengan sokongan Apple Intelligence, AirPods Pro 3 kini berfungsi seperti jurulatih peribadi anda. Ciri “Workout Buddy” memberikan maklum balas masa nyata berdasarkan data kecergasan anda, sekaligus meningkatkan pengalaman senaman bagi pengguna Apple Fitness+ dengan metrik tambahan yang berguna.
Selain itu, AirPods Pro 3 juga menawarkan ciri “Live Translation”, yang membolehkan pengguna menikmati terjemahan masa nyata semasa berkomunikasi dengan orang yang berbeza bahasa. Ciri ini disokong oleh ANC untuk membantu pengguna fokus pada suara yang diterjemah. Bahasa yang disokong termasuk Inggeris, Perancis, Jerman, Portugis, dan Sepanyol.
Pengguna di Malaysia boleh mendapatkan AirPods Pro 3 tidak lama lagi, dengan harga permulaan RM999.