Perbalahan di media sosial antara warganet dari negara jiran sering kali mencuri tumpuan tempatan.

Terbaru, timbul satu seruan dalam kalangan sesetengah netizen Indonesia yang mengajak orang ramai di sana untuk memboikot rangkaian kedai barangan rumah popular dari Malaysia, MR DIY.

Ajak Boikot MR DIY Di Indonesia, Lelaki Ini Bagi 'Fakta Pedih' Kuasa Membeli Malaysia
Sumber Gambar: Threads

Niat di sebalik kempen tersebut kononnya mahu menjejaskan ekonomi syarikat berkenaan dan memberi tekanan kepada Malaysia.

Walau bagaimanapun, usaha berkenaan tidak bertahan lama apabila seorang lelaki yang juga warga Indonesia tampil menyuarakan pandangan yang agak pedas tetapi berasaskan realiti.

Fakta Pedih Tentang Kuasa Membeli

Lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Suib Farouk menerusi platform Threads menegaskan bahawa kempen boikot terhadap produk atau jenama Malaysia di Indonesia tidak akan memberi kesan besar.

“Indonesia tidak boleh boikot produk Malaysia hingga saham jatuh. Ini jaminan saya. Warga Indonesia kurang daya beli. Populasi besar tetapi daya beli kecil. Berbeza dengan Malaysia, populasi kecil tetapi daya beli besar,” kata beliau.

Pandangan tersebut turut disokong oleh perkongsian data Household Consumption Per Capita (PPP) bagi tahun 2025 yang menunjukkan jurang kuasa membeli antara kedua-dua negara. Data berkenaan memperlihatkan nisbah perbelanjaan isi rumah per kapita pengguna di Malaysia mencecah US$24,224, manakala Indonesia berada pada paras US$9,089.3.

Ajak Boikot MR DIY Di Indonesia, Lelaki Ini Bagi 'Fakta Pedih' Kuasa Membeli Malaysia

Kenyataan jujur itu secara tidak langsung meruntuhkan kehangatan kempen boikot tersebut sebelum ia sempat menular lebih jauh.

Respon Warganet Tempatan Dan Peringatan Realiti

Isu ini dengan pantas menarik perhatian netizen Malaysia. Rata-ratanya tidak meluahkan rasa marah, sebaliknya menyambut situasi itu dengan nada humor dan sinikal.

Ada yang menganggap seruan boikot tersebut langsung tidak menjejaskan syarikat tempatan. Seorang pengguna tempatan menulis, “Takat boikot DIY, tak miskin aih. Hampa pun mampu lalu depan tu jaa bukan masuk pun.”

Seorang lagi warganet berkongsi pengalaman peribadi tentang bagaimana jenama berkenaan sudah menjadi sebahagian daripada tabiat harian masyarakat Malaysia. “Takde kesan kot. Laki aku pantang nampak DIY, walau pergi vacation mana-mana negeri nampak je mesti masuk. Jarang keluar tangan kosong. Aku rasa laki lain pun sama spesik cam laki aku,” ujarnya.

Selain isu kuasa membeli, warganet turut mengingatkan bahawa tindakan memboikot perniagaan tempatan di sana sebenarnya memberi kesan negatif kepada rakyat mereka sendiri. Kebanyakan cawangan yang beroperasi di Indonesia menggunakan tenaga kerja tempatan.

Seorang netizen menegaskan hal ini dengan berkata, “Korang boikot, orang korang yang ramai tu jugak yang hilang kerja.”

Malah, warganet dari Indonesia sendiri ada yang bersetuju bahawa tindakan sedemikian adalah tidak matang. “Ga usah ikutan orang sana, yg kerja orang kita juga. Ga penting juga boikot boikot gitu, kaya bocah,” tulis salah seorang pengguna dari sana.

Pengajaran Buat Pengguna Media Sosial

Peristiwa ini menunjukkan bahawa kempen yang didorong oleh emosi di media sosial selalunya sukar bertahan apabila berdepan dengan fakta ekonomi yang sebenar. Dalam dunia perniagaan global, kuasa membeli dan rantaian ekonomi saling berkait rapat, di mana sebarang tindakan drastik selalunya akan memberi kesan kembali kepada komuniti setempat.