Aksi dipamerkan penyerang tinggi lampai, Zhao Songyuan ketika mewakili China ketika mencatatkan keputusan seri 2-2 menentang Maghribi pada Piala Dunia Bawah 17 Tahun (B-17) 2026 tular di media sosial.

Malah dalam masa yang sama ramai peminat percaya pemain muda itu bakal menjadi bintang besar pada masa hadapan.

Pemain berusia 17 tahun itu sebelum ini mendapat perbandingan dengan penyerang sensasi Norway, Erling Haaland oleh sebahagian media China, seperti dilaporkan Sport Bible.

Zhao Songyuan Curi Perhatian Ramai

Namanya mula menjadi perhatian pada September lalu apabila beliau mencipta sejarah sebagai pemain pertama tanpa kontrak profesional yang dipanggil menyertai skuad senior kebangsaan China.

Ketika menerima panggilan sulung tersebut, Zhao Songyuan masih merupakan pelajar sekolah menengah di Universiti Tsinghua.

Beliau kemudian membuat penampilan sulung bersama skuad senior ketika berusia 17 tahun dan 170 hari dalam aksi menentang Maldives sebelum turut diturunkan ketika berdepan Palestin dan Tajikistan.

Sejak mencipta sejarah sebagai pemain termuda mewakili skuad senior lelaki China, penyerang berketinggian 6 kaki 4 inci itu terus menunjukkan perkembangan positif apabila aksi terbarunya menentang Maghribi pada Piala Dunia Bawah 17 Tahun mendapat pujian meluas.

Songyuan hanya memerlukan dua minit untuk membuka tirai jaringan apabila melepaskan rembatan ke penjuru bawah sebelah kiri gawang selepas melakukan gerakan individu yang cukup menarik.

Jaringan itu memperlihatkan keupayaan teknikal luar biasa yang dimiliki pemain remaja tersebut, lebih-lebih lagi dengan mengambil kira fizikalnya yang tinggi lampai.

Seperti yang dapat dilihat menerusi video yang dimuatnaik laman X MohammadAliBK, Songyuan bukan sekadar penyerang tradisional yang bergantung kepada kelebihan fizikal untuk menguasai bola.

Keupayaannya mengekalkan penguasaan bola ketika diasak pertahanan lawan cukup baik, malah dia turut memiliki kebolehan membawa bola dari kawasan sendiri sebelum melakukan gerakan ke arah pintu gol lawan.

Songyuan juga bijak menutup kekurangan dari segi kepantasan menerusi sentuhan pertama yang kemas serta pergerakan bijak di dalam kotak penalti.

Zhao Songyuan kemudian meledak gol keduanya pada minit ke-57 selepas menyudahkan hantaran lintang yang cukup tepat dengan penyudah bersahaja.

Maghribi akhirnya bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat keputusan seri dan membawa pulang satu mata. Namun, aksi cemerlang Songyuan menjadi tumpuan utama selepas perlawanan tersebut.