Sambutan Hari Raya Aidilfitri sering dianggap perlu diraikan dengan meriah di dalam masyarakat kita, tetapi realitinya ramai terlupa untuk mengukur baju di badan sendiri.
Inilah senario yang dihadapi oleh seorang individu yang menceritakan bagaimana ahli keluarga sendiri sanggup meminjam wang demi memenuhi kehendak untuk pulang beraya di kampung isterinya.
Lelaki itu berkongsi baru-baru ini telah menerima beberapa pesanan menerusi WhatsApp daripada adiknya pada tengah pagi yang berhajat meminjam sejumlah RM1,000 untuk menanggung kos perbelanjaan ke Terengganu.
“Boleh tak nak pinjam RM1,000 dulu nak buat belanja balik raya sana. Nanti bulan-bulan dapat gaji saya bayar RM100,” ujar adiknya dengan nada berharap.
Namun, bagi lelaki tersebut, kini sudah tiba masanya untuk memberi kesedaran kepada adiknya tentang tahap literasi kewangan yang selama ini terlalu bergantung dengan orang lain hanya demi memenuhi kehendak untuk beraya walhal realitinya tidak berkemampuan.
“Abang malas nak berkias, jujur nak cakap selama ini abang bagi dan berdiam diri je.
“Setiap tahun nak beraya, mesti teks nak pinjam duit. Raya sehari, hutang sampai berbulan-bulan. Rayanya dah habis hutang tak habis-habis lagi, kadang terlajak sampai ke tahun depan.
“Dah bertahun macam ni, Tak bosan ke meminjam? Ke berasa istimewa sebab abang bagi pinjam tanpa bertanya,” tegasnya.
Tidak mahu perkara ini berpanjangan, dia berkeras dengan mengatakan tidak mahu lagi jadi tempat meminta wang atau bahasa mudahnya ATM selepas ini.
“Abang tak selesa jadi ATM setiap tahun. kali ni kira kata terakhir untuk menghentikan perbuatan ini lagi,” tulisnya.
Adiknya bagaimanapun tidak mengalah sehingga memainkan sentimen keluarga dan anak namun tidak diendahkan oleh lelaki berkenaan.

Tambahnya, bukan tugas dia untuk memberi bantuan dari segi kewangan demi kegembiran keluarga orang lain walhal ia berpunca dari kegagalan perancangan kewangan seseorang individu itu sendiri.
Perkongsian lelaki itu langsung menjadi perbualan hangat di media sosial dan rata-ratanya bersetuju dengan tindakan tegas individu terbabit mengajar erti sebenar perayaan perlu disambut mengikut tahap kewangan masing-masing tanpa bergantung dengan orang lain.