Pada hari semalam tular rantaian hantaran X mengenai satu kes buli di sebuah sekolah menengah berasrama di Kuala Kangsar.

Difahamkan semasa kejadian, kesemua pelajar tingkatan 4 diminta berkumpul pada pukul 12.20 pagi. Mangsa yang duduk di barisan paling hadapan telah dirempuh oleh salah seorang pelajar tingkatan 5 sehingga terjatuh, kemudian dipukul oleh beberapa pelajar senior lain sehingga lemah longlai.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Memetik laporan terkini, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Omar Bakhtiar Yaacob berkata pihaknya menerima laporan kes buli pada 24 September lepas membabitkan seorang pelajar tingkatan empat sekolah di Kuala Kangsar yang dikatakan telah dipukul oleh pelajar tingkatan lima.

“Mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Kangsar oleh pihak sekolah untuk mendapatkan rawatan lanjut. Doktor yang merawat mangsa telah mengesahkan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Omar Bakhtiar berkata kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan.

Beliau turut mengingatkan kepada orang ramai supaya tidak membuat sebarang kenyataan serta spekulasi yang tidak berasas berkaitan dengan kes yang ditularkan.

Hantaran media sosial itu turut memaparkan sepucuk surat rayuan terhadap keputusan hukuman disiplin terhadap pelaku-pelaku yang diminta berkelakuan baik, dirotan dan membuat kerja amal di sekolah.

Dalam pada itu netizen meminta agar pihak-pihak berkuasa dapat menegakkan keadilan yang sepatutnya buat mangsa agar perbuatan buli tidak lagi menjadi satu ‘perkara biasa’ pada masa akan datang.