Mahkamah Tinggi pada hari ini telah menjatuhkan hukuman 35 tahun penjara kepada seorang amah Indonesia bersama suaminya yang membunuh majikan yang dijaga dalam kejadian tiga tahun lalu.

Tertuduh pertama Bartolomeus Fransceda yang merupakan tukang kebun di kediaman warga emas itu, turut diperintahkan disebat 12 kali, manakala isterinya, Ekalia selaku tertuduh kedua diperintahkan hukuman penjara.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Hakim, Datuk Abu Bakar Katar, dalam penghakimannya, berkata keputusan itu mengambil kira dan menimbangkan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.

“Mahkamah ini turut mengambil kira kenyataan impak mangsa dan fakta kes yang dibentangkan pendakwaan serta prinsip-prinsip penghukuman, mahkamah ini menjatuhi hukuman.

“Oleh itu, tertuduh pertama dijatuhkan hukuman penjara 35 tahun mulai tarikh tangkap dan sebatan rotan 12 kali, manakala tertuduh kedua dihukum penjara 35 tahun mulai tarikh tangkap dan tiada sebatan rotan,” katanya.

Pada 29 November lalu, Ekalia dan Bartolomeus Fransceda, yang kedua-duanya 23 tahun, menukar pengakuan mereka kepada bersalah, atas tuduhan membunuh majikan dijaga mereka, tiga tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh dituduh secara bersama-sama membunuh Lau Yen Na di sebuah rumah di Palm Resort, Senai, Kulai, kira-kira jam 2 petang, 17 Mac 2020.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan 12 sebatan.

Pada prosiding minggu lalu, rakaman CCTV kejadian mengerikan itu turut disiarkan pada menyebabkan ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan sebak.

Mengikut fakta kes, berdasarkan siasatan dan analisis kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, tertuduh pertama iaitu Bartolomeus, dan kedua, Ekalia, membunuh si mati dengan menggunakan cangkul kecil mempunyai dua mata tajam.

Tertuduh pertama dan kedua telah memukul si mati dengan cangkul kecil itu pada kepala ketika si mati sedang berehat, sebelum mereka mengambil Toyota Alphard serta telefon bimbit mangsa untuk ke Kuala Lumpur dan bertemu rakan bagi mencari kerja baharu.

Sumber