Kerajaan Perpaduan tampil komited dalam menghentikan amalan meminta komisen yang dilihat sudah menjadi budaya lantas boleh menjejaskan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu amalan meminta dan memberi komisen dalam mana-mana pelaksanaan projek pembangunan termasuk projek perumahan dihentikan segera.

Baca Juga:

Sumber Gambar: BFM 89.9

Kata beliau lagi, amalan tersebut akan menyebabkan negara hancur lalu menjejaskan rakyat hanya akibat daripada amalan yang menguntungkan satu pihak sahaja.

“Ada keuntungan (syarikat) tiada masalah, tapi janganlah potong RM10 juta atau RM15 juta untuk pak menteri atau parti seperti amalan sebelum ini, ini yang merosakkan. Saya faham ramai yang marah saya kerana menyinggung hal ini tapi semua orang tahu, tanyalah pemaju Wilayah Persekutuan.

“Adakah saya betul atau salah, atau saya sengaja membesar-besarkan atau saya bercakap benar? Hakikatnya semua mengakui ini telah menjadi amalan. Jadi kita harus hentikan amalan buruk ini,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin Madani serta Pusat Penjaja Madani di Desa Tasik Sungai Besi sebentar tadi.

Ulas lanjut lagi, pada awal tempoh pengambil alihan Wilayah Persekutuan, beliau memang menghentikan projek-projek  baharu kerana tidak mahu meneruskan amalan-amalan lama itu.

Beliau turut menjelaskan bahawa terdapat syarat yang ditetapkan dengan ketat dan dibolehkan untuk membina bangunan pencakar langit dan kondominium mewah namun ia mesti diimbangi dengan perumahan sederhana dan perumahan rakyat.