Pelawak dan pengacara terkenal Indonesia, Andre Taulany, akhirnya sah bergelar suami kepada pelakon Amanda Rigby selepas mereka melangsungkan akad nikah pada Ahad, 20 September 2026.
Majlis perkahwinan pasangan itu berlangsung secara tertutup di Hotel The Dharmawangsa, Kebayoran Baru, Jakarta Selatan dan hanya dihadiri keluarga serta sahabat terdekat.
Upacara tersebut berlangsung dalam suasana adat Jawa dengan Andre tampil mengenakan beskap putih, kain batik dan blangkon, manakala Amanda pula mengenakan kebaya putih bersama busana pengantin tradisional Jawa.
Perhatian turut diberikan kepada mas kahwin yang disediakan Andre untuk Amanda.
Beliau memberikan wang tunai sebanyak Rp20,092,026 atau kira kira RM4,700 bersama sepasang alat solat. Jumlah tersebut dipilih berdasarkan tarikh perkahwinan mereka, iaitu 20 September 2026.
Dalam rakaman akad nikah yang tersebar di media sosial, Andre melafazkan akad dengan lancar sebelum kedua-duanya menjalani beberapa lagi adat perkahwinan Jawa.
“Saya terima nikah dan kahwinnya Amanda Lintang Larasati Rigby binti Jocelyn Ashton Rigby dengan mas kahwin tersebut dibayar tunai,” kata Andre ketika melafazkan akad.
Selepas sah bergelar suami isteri, Andre dan Amanda menyatakan rasa syukur atas majlis tersebut serta berterima kasih kepada keluarga, sahabat dan orang ramai yang mendoakan mereka.
Kedua-duanya pada masa sama meminta orang ramai dan pihak media menghormati privasi mereka supaya dapat menikmati fasa baharu kehidupan berkeluarga secara lebih tertutup.
Perkahwinan ini menandakan lembaran baharu buat Andre selepas beliau sebelum ini pernah berkahwin dengan Rien Wartia Trigina atau Erin.
Usia ternyata bukan penghalang untuk pasangan tersebut. Andre yang berusia 52 tahun berjaya memikat wanita berusia 34 tahun. Semuanya hanya dengan kepakarannya membuat orang ketawa.
Amanda Rigby sebelum ini pernah berkongsi bahawa dia sudah tertawan dengan seorang lelaki yang kelakar.
Dia berkata: “Sebenarnya saya sudah dilamar seseorang. Dan saya sudah setuju, cuma belum mendapat restu daripada ibu dan ayah.
“Saya sukakan lelaki yang kelakar, dan saya tidak suka dimadukan kerana saya seorang yang kuat cemburu.”