Penduduk di kawasan rendah dan berisiko banjir di tiga daerah di Selangor diminta meningkatkan kewaspadaan susulan amaran kemungkinan banjir yang dijangka bermula petang ini hingga Sabtu.
Tiga daerah terbabit ialah Sepang, Kuala Langat dan Gombak, berdasarkan amaran dikeluarkan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS).
Dalam kenyataan pada 12.30 tengah hari tadi, PRABN memaklumkan amaran itu dikeluarkan berdasarkan analisis data hidrologi serta model ramalan banjir JPS.
Menurutnya, banjir berkemungkinan berlaku di kawasan dalam lingkungan lima kilometer sekitar lembangan sungai di ketiga-tiga daerah berkenaan.
“Banjir dijangka bermula pada jam 4 petang, hari ini sehingga 11.59 malam, Sabtu ini,” menurut kenyataan itu.
Di Sepang, kawasan yang dikenal pasti berisiko termasuk Kampung Sri Tanjung, Kampung Orang Asli Sungai Melut dan persimpangan FT29/FT32.
Sementara itu, di Kuala Langat, kawasan terbabit ialah Jalan Perepat, Taman Dato’ Hormat, Kampung Sri Cheeding, Jalan Bukit Kecil serta Jalan Desa 6 Kemandol.
Bagi daerah Gombak pula, kawasan berisiko merangkumi Kampung Cempedak, Kuang, Pekan Rawang, Jalan Maxwell dan Taman Rahmat Jaya.
PRABN turut mengingatkan bahawa kejadian banjir mungkin berlaku lebih awal atau lewat berbanding waktu yang diramalkan.
Sehubungan itu, penduduk di kawasan berisiko dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, memantau perkembangan semasa serta mematuhi arahan pihak berkuasa dan agensi pengurusan bencana.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai situasi banjir menerusi laman sesawang Public InfoBanjir di https://publicinfobanjir.water.gov.my/ atau aplikasi MyPublicInfoBanjir.