Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta (CGK) kini dilaporkan telah kembali beroperasi secara berperingkat sejak 8 September lalu susulan gangguan penerbangan yang berlaku sebelum ini.
Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa syarikat-syarikat penerbangan kini sedang giat membuat penyesuaian terhadap jadual penerbangan serta urusan penumpang, khususnya bagi penerbangan keluar dari Jakarta.
“Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta terus memantau rapi situasi warganegara Malaysia yang dilaporkan terkandas pada 6 dan 7 September lalu akibat gangguan berkenaan. Sebahagian daripada mereka dimaklumkan telah selamat kembali ke tanah air,” menurut kenyataan itu.
Status Aktiviti Gunung Berapi
Dalam pada itu, pihak berkuasa tempatan memaklumkan aktiviti Gunung Anak Krakatau di Provinsi Lampung masih berada pada Tahap III (Siaga), dengan aktiviti letusan masih direkodkan sehingga hari ini.
Selain Gunung Anak Krakatau, beberapa gunung berapi aktif lain di Indonesia turut berada dalam pemantauan pihak berkuasa setakat 10 September 2026:
Tahap III (Siaga):
Gunung Semeru (Kabupaten Lumajang dan Kabupaten Malang, Jawa Timur)
Tahap II (Waspada):
Gunung Ile Lewotolok (Kabupaten Lembata, Nusa Tenggara Timur)
Gunung Ibu (Halmahera Barat, Maluku Utara)
Nasihat Kepada Perantau dan Pelancong Malaysia
Sehubungan itu, Kedutaan Besar Malaysia menasihatkan mana-mana warganegara Malaysia yang merancang perjalanan ke Republik Indonesia.
Khususnya yang menggunakan perkhidmatan Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta (CGK) agar membuat perancangan teliti serta menyemak status penerbangan terkini dengan syarikat penerbangan masing-masing dari semasa ke semasa.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta melalui saluran berikut:
Talian Tetap: +62 21 522 4947 / +62 21 522 4948
Panggilan / WhatsApp: +62 813 8081 3036
E-mel: [email protected]