Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa peningkatan kerintangan antimikrob (AMR) berpotensi meragut 39 juta nyawa dalam tempoh 25 tahun akan datang.
Ia sekali gus mengancam prosedur pembedahan rutin serta proses kelahiran untuk menjadi situasi yang mengancam nyawa, petik Al Jazeera.
Pegawai kanan agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu memaklumkan pada Isnin bahawa kemajuan dalam aspek pencegahan, diagnosis, dan penggunaan antibiotik secara berhemah masih terlalu perlahan untuk mencapai sasaran global.
Pemangku Pengarah Jabatan AMR WHO, Jean-Pierre Nyemazi, berkata kerintangan antibiotik atau secara meluasnya AMR kini kian menular dan menggugat masa depan perubatan moden.
“Tidak seperti COVID-19 yang sangat ketara kesannya, jangkitan rintang ubat telah meragut nyawa manusia selama bertahun-tahun tanpa kita sedari dan tanpa amaran sewajarnya dibunyikan,” katanya dalam persidangan maya sempena Forum Media Global Tahunan ke-6 mengenai AMR.
Menurut perangkaan WHO, pada tahun 2021 sahaja, fenomena itu bertanggungjawab secara langsung terhadap lebih sejuta kematian dan dikaitkan dengan kira-kira 4.7 juta kematian lain di seluruh dunia.
Pelan Tindakan Kebangsaan
Siasatan terhadap kemajuan usaha memerangi AMR di 183 buah negara pada tahun ini mendedahkan bahawa hampir sembilan daripada 10 negara sudah mempunyai pelan tindakan kebangsaan masing-masing, meningkat berbanding kira-kira empat daripada 10 negara pada tahun 2017.
Bagaimanapun, Pegawai Teknikal AMR WHO, Pravasha Prakash, mendedahkan hanya 42 negara — iaitu kurang daripada satu perlima — memiliki pelan yang dibiayai, dilaksanakan, dan dipantau sepenuhnya.
“Negara-negara sedang melangkah ke hadapan dalam setiap fasa, namun kemajuan ini masih perlu dipercepatkan bagi mencapai sasaran menjelang tahun 2030,” tambahnya.
Data pengawasan global terkini turut menunjukkan bahawa pada tahun 2023, satu daripada setiap enam jangkitan bakteria yang disahkan makmal dan dilaporkan kepada WHO didapati rintang terhadap antibiotik yang digunakan untuk merawatnya.
Ketua Pengawasan AMR WHO, Sylvia Bertagnolo, menegaskan bahawa tanpa ujian diagnostik yang tepat, pakar klinikal terpaksa memberikan rawatan tanpa mengetahui punca sebenar jangkitan atau jenis antibiotik yang berkesan.
Alat Diagnostik Baharu
Sehubungan itu, WHO mengumumkan pelancaran dua instrumen baharu yang dirangka bagi membantu negara anggota memperkukuh keupayaan diagnostik mereka.
Instrumen pertama memperincikan jenis ujian yang wajib disediakan di setiap peringkat sistem penjagaan kesihatan, bermula daripada pusat kesihatan primer hinggalah ke hospital rujukan. Instrumen kedua pula menghimpunkan 73 prosedur makmal, merangkumi proses pengambilan sampel sehingga pengenalpastian patogen dan ujian kerentanan antibiotik.
Agensi itu turut menekankan bahawa langkah pencegahan jangkitan, pemvaksinan, peningkatan akses kepada air bersih dan sanitasi, serta penggunaan antimikrob yang tepat merupakan teras utama dalam memerangi krisis kesihatan tersebut.