Beberapa penyokong Malaysia yang hadir menyaksikan perlawanan menentang Thailand dalam saingan Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 cedera selepas dipercayai dipukul oleh sekumpulan penyokong tuan rumah.
Menurut perkongsian media Thailand iaitu Main Stand, terjadi perbalahan antara 30 penyokong Malaysia dan sekumpulan penyokong pasukan lawan.
Baca Juga:
- Faisal Halim Rindu Beraksi Bersama Harimau Malaya
- Piala ASEAN 2024: Kesilapan Mudah Penjaga Gol Malaysia Bantu Thailand Menang 1-0
- Piala AMEC: Ramalan Kesebelasan Utama Malaysia Menentang Thailand
Kejadian itu mengakibatkan beberapa penyokong pasukan pelawat mengalami kecederaan seperti luka di bahagian kepala dan badan.
Pihak polis tidak membenarkan penyokong Malaysia untuk keluar dari stadium selepas kejadian tersebut bagi mengelakkan kejadian yang lebih buruk berlaku.
Satu jam kemudian, pihak polis mengiringi penyokong Malaysia keluar dari stadium selepas keadaan selamat dan penyokong tuan rumah sudah bersurai.
Kejadian ini bukanlah kali pertama berlaku dimana sekumpulan penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) pernah diserang oleh penyokong BG Pathum United selepas aksi kedua-dua pasukan dalam saingan AFC Champions League (ACL) tahun lalu.
Penyokong JDT yang digelar ‘Boys Of Straits’ atau singkatannya ‘BOS’ diserang oleh sekumpulan penyokong tuan rumah yang tidak dikenali hingga berlakunya insiden tumbuk menumbuk dan balingan mercun.
Berdasarkan satu video yang tular di laman sosial, penyokong JDT sedang berjalan di luar perkarangan Stadium Leo yang juga venue kelab BG Pathum United, namun secara tiba-tiba kumpulan penyokong Harimau Selatan itu diserang.
Tidak mustahil kejadian seperti ini boleh berulang pada masa yang akan datang sama ada perlawanan tersebut berlangsung di Malaysia ataupun negara jiran.