Legenda bola sepak era moden, Mohd Amri Yahyah seperti diketahui sudah pun mengumumkan persaraannya daripada kancah bola sepak profesional.

Bersara pada usia 42 tahun, Amri menamatkan karier penuh warna-warni bersama Sabah, kelab yang diwakilinya sejak musim 2021.

Baca Juga:

Tiada lagi kelibat ‘budak nakal’ dalam saingan Liga Malaysia sebagai pemain yang penuh dengan cerita suka duka dilaluinya.

Malah, tidak kurang juga dengan koleksi jaringan-jaringan menarik dihasilkan serta kontroversi melibatkan anak kelahiran Tanjong Karang ini.

Permulaan karier seorang Amri Yahyah

Segalanya bermula buat Amri pada 1999 apabila beliau terpilih untuk menyertai skuad Piala Milo (bawah 19 tahun) Selangor setelah melepasi sesi pemilihan yang diadakan di Kelana Jaya.

Ia jelas merupakan permulaan manis buat Amri selepas berjaya membantu skuad Piala Milo Selangor menjuarai saingan edisi 2000 dengan menewaskan Johor 2-1 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin.

Kejayaan manis yang membolehkan Amri berpeluang untuk mengembangkan lagi kariernya kerana terpilih untuk menyertai skuad Piala Presiden Selangor.

Latihan pusat skuad kebangsaan rintis peluang

Ketika skuad Liga Super Selangor dibimbing Abdul Rahman Ibrahim pada musim 2001, Amri telah diserapkan ke pasukan utama selepas kelab Gergasi Merah itu kehilangan sebahagian besar pemain yang dipanggil menyertai kem latihan skuad kebangsaan.

Malah, bekas pemain dan kini bertindak selaku penolong jurulatih Selangor, Nidzam Jamil turut pernah berkongsikan ciapan tentang pembabitan awal Amri dalam skuad utama kelab tersebut.

Beri impak pantas bantu pasukan

Melihatkan kepada kemampuan dimiliki Amri meskipun pada usia muda, Abdul Rahman terus meletakkan kepercayaan kepadanya untuk berada dalam pasukan di samping Azmin Azram Abdul Aziz, Mohd Nizaruddin Yusof, Rusdi Suparman, Yusri Che Lah, Shamsul Amri Abu Bakar, Muhammad Rajanikadhn Batumalai dan ramai lagi.

Kepercayaan itu pantas dibalas oleh Amri apabila beliau muncul wira buat Selangor melakukan kebangkitan hebat pada pusingan kedua Piala FA 2001.

Tewas 0-3 kepada Perlis pada aksi pertama di Kangar, Selangor bangkit dengan penuh bergaya untuk memenangi perlawanan dengan 4-0.

Lebih manis, gol kemenangan yang membawa mereka ke suku akhir untuk bertemu Pulau Pinang itu telah dijaringkan oleh Amri Yahyah pada minit ke-90.

Selangor kemudiannya mara ke perlawanan akhir bertemu Sarawak dan Amri turut dibawa masuk pada minit ke-73 bagi menggantikan pemain sayap, Jaafar Salleh.

Tuah nyata memihak Amri apabila Selangor bergelar juara hasil jaringan emas menerusi tandukan kencang D. Surendran pada masa tambahan.

Sudah pasti detik yang cukup indah buat pemai muda seperti Amri Yahyah dapat memenangi piala yang cukup bermakna itu.

Tak menoleh ke belakang, terus beri sumbangan bermakna

Meskipun Abdul Rahman Ibrahim tidak lagi bersama pasukan dan digantikan dengan mendiang Ken Worden, Amri masih lagi menjadi pilihan untuk diturunkan.

Musim 2002 menyaksikan Amri berjaya menjaringkan lima gol dalam saingan Liga Super, dua jaringan Piala FA dan paling cemerlang pastinya dalam Piala Malaysia dengan tujuh gol dihasilkannya.

Beliau turut muncul wira buat Selangor apabila rembatan leret dilakukannya membias terkena pertahanan Sabah, Madzalan Emoi untuk menewaskan Khairul Azman Mohammed sekali gus menjulang trofi Piala Malaysia 2002.

Karier kelam buat seketika

Dua musim yang cemerlang itu bagaimanapun tidak menjanjikan 2003 yang lebih baik kerana Amri terpaksa menelan kepahitan mengalami kecederaan jalan raya pada November 2002.

Dalam perjalanan pulang dari Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas membeli juadah berbuka puasa, motosikal dinaiki Amri telah bertembung dengan sebuah lori di Glemnarie, Shah Alam.

Kemalangan yang mengakibatkan kaki kirinya patah sekali gus memusnahkan impiannya untuk menyarung jersi skuad kebangsaan buat pertama kali dibawah kendalian mendiang Allan Harris bagi menghadapi Piala Tiger 2002 di Singapura.

Kembali bangkit untuk raih lebih banyak kejayaan

Dugaan yang dialami pada usia 21 tahun itu membuatkan Amri menyimpan azam lebih besar untuk mengecapi lebih banyak kejayaan.

Kesabaran itu membuahkan hasil apabila begitu banyak detik yang ingin dikongsikan tentang sumbangan beliau dalam membantu Selangor untuk mengecapi kejayaan demi kejayaan.

Fasa kedua beraksi bersama Selangor. Kredit Foto: MR17 Official

13 musim bersama Selangor, pelbagai kejayaan berjaya diraihnya dengan tambahan kejuaraan Liga Super 2009 dan 2010, Liga Premier 2005,  Piala FA 2005 dan 2009, Piala Malaysia 2005 serta tiga kali menjuarai Piala Sumbangsih 2002, 2009 dan 2010.

Kewujudan Johor Darul Ta’zim pada tahun 2013 yang nyata telah mengubah lanskap bola sepak tanah air turut menarik minat Amri untuk berhijrah ke sana.

Keputusan berat terpaksa diambil Amri untuk meninggalkan Selangor yang cukup sebati dengan jiwa dan raganya.

Tiga musim menyarung jersi skuad Harimau Selatan itu bermula 2014, Amri mengecapi nikmat yang lebih besar dalam kariernya apabila menjuarai Piala AFC 2015.

10 daripada kejuaraan Liga Super yang sudah dimenangi JDT setakat ini, Amri Yahyah mengerah kudrat buat pasukan tersebut pada edisi 2014, 2015 dan 2016.

Selain itu, beliau turut memenangi gelaran juara Piala FA pada musim 2016 yang menyaksikan beliau dibawa masuk sebagai pemain gantian.

Menjulang Liga Super bersama JDT. Kredit Foto: JOHOR Southern Tigers

Selain JDT, Amri turut pernah beraksi bersama Melaka United (2017) dan kemudiannya kembali ke Selangor untuk menyarung jersi skuad Merah Kuning itu selama tiga musim.

Ketika beliau dirasakan sudah hampir untuk berpencen, Amri sebaliknya memilih Sarawak United sebagai destinasi baharu karier beliau pada 2020.

Semusim kemudian beliau dipancing pula oleh Sabah yang menyaksikan Amri bertahan selama tiga musim.

Ketika bersama Sabah, Amri tidak hanya makan angin dan menghabiskan sisa-sisa kariernya tetapi pengalaman luasnya begitu ditagih Datuk Ong Kim Swee.

Kegigihannya dalam sesi latihan dan ketika diberikan peluang beraksi memang tidak boleh dipertikaikan meskipun sudah berusia 42 tahun.

Malah, beliau turut berupaya mencetak hatrik pada perlawanan Liga Super 2022 bertemu Kedah di Stadium Likas.

Amri juga jelas tidak lokek dengan nasihat serta tunjuk ajar yang diberikan terutamanya kepada pemain muda dalam skuad Sabah.

Perwatakan gila-gila yang ada dalam dirinya membuatkan pemain lain mudah dan selesa untuk mendekatinya.

Diraikan oleh pengurusan Sabah. Kredit Foto: Sabah Football Club

Bersama skuad kebangsaan

Terlepas peluang akibat kemalangan pada 2002, Amri akhirnya melakukan debut bersama skuad kebangsaan pada 8 September 2004 ketika Malaysia melayani kunjungan China dalam Kelayakan Piala Dunia 2006.

Perlawanan di Stadium Bandaraya yang berkesudahan Malaysia tewas 0-1 hasil jaringan Li Jin Yu itu menyaksikan Amri Yahyah dibawa masuk pada minit ke-84 menggantikan Akmal Rizal Ahmad Rakhli.

Skuad negara pada ketika itu dibimbing oleh pengendali kelahiran Hungary, mendiang Bertalan Bicskei.

Amri Yahyah
Amri ketika mewakili skuad kebangsaaan. Kredit Foto: FAM

Kejayaan menjuarai Piala AFF 2010 pastinya menjadi detik terbaik buat Amri sepanjang 63 kali penampilan bersama Harimau Malaya. Dalam saingan tersebut, Amri turut berjaya menjaringkan dua gol.

Perlawanan menentang Lebanon dalam menghadapi Pusingan Kelayakan Piala Asia 2019 pada Jun 2017 menjadi aksi terakhir beliau menyarung jersi skuad negara.

Sulaman kontroversi tambah warna-warni karier hebat

Karier Amri juga tidak lengkap sekiranya tidak bercakap mengenai sikap ‘nakal’ beliau sewaktu berada di dalam padang.

Beliau pernah didenda RM48,000 dan digantung enam perlawanan antarabangsa oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) kerana didapati bersalah meludah pemain Kuwait ketika Kelayakan Piala Dunia Zon Asia 2006 yang berlangsung pada November 2004.

Malah pada musim 2005/06, beliau turut didenda RM4,000 oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta turut diberikan amaran keras oleh Persatua Bola Sepak Selangor (FAS) kerana terlibat dalam insiden membaling botol kepada peminat selepas perlawanan bertemu Negeri Sembilan.

Sudah pasti semua ini menjadi pengalaman berguna buat Amri yang kemudiannya menampilkan sikap yang lebih baik hari demi hari dalam kariernya.

Igauan ngeri buat Edwin Van Der Saar dan Victor Valdes

Walaupun hanya berstatus perlawanan persahabatan, dua ledakan Amri Yahyah daripada luar kawasan penalti ketika bertemu Manchester United dan Barcelona nyata sungguh memukau.

Dengan teknik yang cukup berkualiti, Amri yang bijak menghidu peluang tersebut terus melepaskan rembatan padu ketika Van Der Saar dan Valdes sedikit terkeluar daripada posisi mereka.

Jaringan berkelas dunia itu akan sentiasa bermain di minda serta diperkatakan oleh para peminat bola sepak tanah air.

Terima kasih Amri Yahyah!

Tiada kata lain yang boleh diungkapkan buat Mohd Amri Yahyah yang sudah mewarnai kancah bola sepak tempat lebih 20 tahun.

Segala sumbangan yang dicurahkan selama ini akan sentiasa diingati oleh seluruh pencinta bola sepak di Malaysia.

Terima kasih, Amri Yahyah!