Pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2024 dalam acara badminton perseorangan wanita dari Korea, An Se-young mendedahkan beliau pernah mendapat layanan teruk dari pemain senior sebelum ini.
Menurut pendedahan oleh media Korea iaitu Maekyung (MK), Se-young mendapat layanan diskriminasi selama beraksi di bawah persatuan badminton negara itu seperti tidak mendapat perawatan yang sepatutnya ketika mengalami kecederaan selain pernah dibuli oleh pemain senior.
Baca Juga:
- Wang Tunai, Seekor Kerbau Habuan Untuk Arshad Nadeem
- Pemenang Pingat Emas Indonesia Dapat Bonus 6 Bilion
- Siaran TV Indonesia Minta Maaf Selepas Troll Atlet Sendiri Menang ‘Pingat Giveaway Pertama’ Di Paris 2024
“An Se-young menderita kerana tidak mendapat perawatan yang sepatutnya ketika mengalami kecederaan selain disuruh untuk mencuci baju serta mengemas bilik pemain senior selama tujuh tahun,” kata MK.
Ekoran mendapat layanan yang tidak adil, ibu bapa Se-young pernah membuat aduan kepada badan badminton Korea namun tidak mendapat maklum balas mengenai kejadian yang dialami oleh anak mereka.
“Ibu bapa Se-young pernah berjumpa dengan Persatuan Badminton Korea (BKA) dimana mereka meminta agar masalah itu segera diperbaiki. Namun staf kejurulatihan mendakwa mereka tidak boleh terus menyelesaikan masalah dan akan cuba untuk memperbaiki secara bertahap.
Se-young masuk ke dalam pasukan kebangsaan Korea ketika masih duduk di bangku sekolah dan kerana itu ada pemain senior yang menyuruh beliau untuk membuat kerja seperti mengemas bilik selain mencuci pakaian.
Pemain berusia 22 tahun itu merasa dirugikan kerana masa terluang dihabiskan untuk membuat kerja di luar bidang badminton dan bukannya berehat terutamanya selepas menjalani latihan.
Selepas membuat pendedahan mengenai situasinya di BKA, Menteri Kebudayaan Sukan dan Pelancongan Korea telah mengambil maklum mengenai perkara ini dan bakal menjalankan siasatan ke atas badan sukan itu.