Anak-anak istimewa Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dan golongan asnaf Mukim Kinta sangat berbesar hati dan gembira apabila diraikan dengan penuh meriah ketika Majlis Santai Mesra Rakyat Istimewa bersama Kerabat Kerabat Negeri Perak, Sabtu lalu.
Objektif program tersebut diadakan adalah untuk menyantuni anak-anak istimewa ini dan menyerahkan sedikit sumbangan dan bantuan sebagai menzahirkan keprihatinan penganjur kepada mereka.
Baca Juga:
- Perak Wajibkan Taska Pasang CCTV Untuk Elak Kes Penderaan
- Mempunyai Rekaan ‘Anglo Malay’, Rumah Milik Bekas Pembesar Di Perak Ini Sedia Untuk Dijual
- Ipoh Bakal Laksana ‘Kempen Tanpa Beg Plastik’ Pada Setiap Sabtu Bermula 1 Jun
Ini merupakan kali kedua program ini dilaksanakan oleh Warisan Puteri Charity di mana program pertamanya telah diadakan pada tahun 2019 di PPDK Lasah.
Menurut penganjur YM Puteri Emelia Mohd Hanif, Warisan Puteri Charity dan juga wakil kerabat DiRaja Perak berhasrat untuk meneruskan program Santai Mesra ini pada setiap tahun agar ramai lagi anak-anak hebat dapat disantuni dan diraikan.
“Program seumpama ini diyakini mampu membina dan memupuk nilai-nilai mulia masyarakat sebagai satu komuniti yang progresif, dinamik dan proaktif dalam melestarikan kehidupan, bukan sahaja dari segi pembangunan masyarakatnya, malah nilai murni berkebajikan yang juga amat penting sebagai teras kehidupan masyarakat yang berjiwa besar,” katanya.
Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Nazhatul Shima binti Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah turut sudi bercemar duli berangkat ke Majlis Santai Mesra Rakyat Istimewa 2023 ini. Turut sama hadir adalah Yang Amat Mulia Raja Puan Muda Nor Ema Binti Raja Zulkifli bagi memberi sokongan kepada program kendalian YM Puteri Emelia ini.
Aktiviti sukaneka menjadi aktivti pertama bersama anak-anak istimewa ketika Majlis Santai Mesra Rayat Istimewa ini dan diteruskan dengan makan tengah hari. Majlis makan tengah hari ini turut diserikan dengan persembahan khas daripada anak-anak istimewa dan artis jemputan antaranya Zulin Aziz, Jaafar Onn, Dayana Roza dan Adda Baharuddin.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan pemberian hadiah dan sijil penghargaan oleh DYTM Raja Muda Perak kepada penaja utama, Dato’ Seri Dr. Hasbullah Salleh (Executive Chairman DRHS Strategic Holdings Sdn Bhd), badan-badan bukan kerajaan (NGO), Van Milo daripada Nestle Malaysia, syarikat-syarikat swasta serta kelab motosikal Perak Bikers dan ahli sports car JKS Motorsport yang sama-sama menjayakan dan memeriahkan Majlis Santai Mesra Rakyat Istimewa 2023.