Boleh dikatakan majoriti masyarakat kita sudah didoktorin jika seseorang memiliki kereta mewah dan besar dikira sebagai satu pencapaian walaupun perlu berhutang di luar kemampuan diri.

Walaupun realitinya yang membeli kereta secara tunai serta mengikut kemampuan peribadi adalah jauh lebih baik dan bijak dalam pengurusan kewangan mereka.

Sebuah kisah yang dikongsikan oleh wanita itu boleh menjadi contoh sehingga ke hari ini masih menebal pemahaman tersebut yang mana dirinya yang membeli kereta Perodua Myvi secara tunai dihina oleh ibunya sendiri.

'Anak Beli Vellfire Hutang 9 Tahun Dipuji, Saya Beli Myvi Secara Tunai Pula Dihina'
Sumber Gambar: Zigwheel

Lebih menyedihkan lagi, ibunya tidak dapat menerima prinsip anak perempuannya yang tidak suka berhutang malahan disindir berkenaan pembelian Myvi itu.

Sementara abangnya yang membeli kereta MPV Toyota Vellfire disanjung tinggi walaupun dibeli dengan pinjaman bank dipetik dari mStar.

“Aku beli Myvi secara tunai. Abang aku beli Vellfire reconditioned (kereta terpakai) hutang sembilan tahun. Mak aku cakap Myvi je?

“Ingat macam bangcik beli Vellfire, besar, gah lagi. Kamu beli Myvi je ke? ” diceritakan semula bagaiman reaksi ibunya.

Rentetan daripada itu, ia telah membuatkan suaminya berkecil hati  meskipun realitinya mereka sangat bersyukur dengan rezeki mampu membeli kereta tanpa perlu berhutang dengan bank.

“Sampaikan laki aku sendiri pun jauh hati dah ( sikap ibu mentua). Terasa dipandang hina. Perlukan kata-kata semangat,” luahnya di media sosial.

Tambah wanita itu lagi, dia memilih untuk berdiam diri kerana masih terngiang-ngiang nasihat ustazah yang mengatakan anak-anak tidak boleh bercakap kasar ata menyakiti perasaan ibu.

“Dalam hati cakap cash mak. Tapi siapa aku nak cakap macam tu. Terguris sikit hati aku. Tapi itulah….ustazah cakap fasal mak ni, selagi boleh kemam, kemamlah. Selagi boleh telan, telanlah.”

Hantaran wanita langsung menjadi perhatian di platform media sosial dan menerima pelbagai reaksi netizen.

Sebahagian netizen memberikan kata-kata semangat dan menyokong akan keteguhan untuk berpegang pada prinsip tanpa kompromi walaupun dipandang serong oleh mak sendiri.

Selain itu, ada yang menasihati wanita itu untuk kekal melayani ibu nya seperti biasa walaupun terluka di hati.