Semua orang berpeluang bergraduat sejurus melangkahkan kaki ke universiti. Namun begitu sangat jarang pelajar mengimpikan membawa cokmar universiti semasa sidang majlis konvokesyen. Begitu juga dengan pemuda bertuah ini yang pernah mengongsikan tip-tip menulis tesis PhD dalam tempoh 3 bulan di Vocket.

Baru-baru ini Majlis Graduasi Universiti Adelaide di Australia tampil berbeza apabila beliau berpeluang menjadi pembawa cokmar (mace bearer) simbol kebesaran universiti di dalam majlis yang dihadiri para graduan pelbagai ijazah daripada Fakulti Sains Kesihatan, Sekolah Perubatan, Fakulti Seni, Sekolah Bisnes Adelaide dan lain-lain lagi.

received_10152988811620736

“Cokmar merupakan alat yang menjadi sebahagian daripada simbol kekuasaan dan kemuliaan sesebuah pemerintahan atau pentadbiran sebuah institusi yang dinaungi, lumrahnya berada dalam majlis berbentuk istiadat kebesaran.

Ia juga menjadi lambang penerimaan rakyat terhadap institusi kuasa itu dan sejajar dengan taraf dan nilainya, cokmar dicipta dengan cukup indah dengan gambaran falsafah, sejarah dan tradisi.” – petikan Utusan Malaysia

Kami telah menemubual beliau untuk mencungkil lebih dalam berikutan peluang berprestij telah diberikan kepada anak Malaysia kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini oleh Universiti Adelaide yang terkenal sebagai antara universiti terbaik di dunia.

Rakyat Malaysia Pembawa Cokmar Universiti Luar Negara

Dr. Syahrul Fitri, 28 memberitahu, ia satu kejutan buatnya apabila dihubungi oleh pihak universiti tentang pemilihannya sebagai pembawa cokmar. Beliau telah memenuhi 5 kriteria penting sebagai pembawa cokmar universiti iaitu:

1. Cemerlang akademik sebagai pelajar sepenuh masa.

2. Aktif dan produktif dalam menyalurkan sumbangan idea dan tenaga untuk pembangunan institusi dan komuniti tempatan dan antarabangsa.

3. Pernah menerima anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa di atas kecemerlangan yang dicapai.

4. Di bawah penilaian situasi khas di mana beliau merupakan seorang suami dan bapa kepada dua orang anak semasa menjadi calon PhD dan mempunyai CV yang luar biasa berbanding pelajar lain.

5. Pencalonan disokong oleh majoriti staf akademik dari fakulti calon pembawa cokmar.

Ia satu penghormatan berprestij buatnya apabila digalaskan dengan tanggungjawab membawa cokmar dan yang lebih penting baginya adalah menjadi kebanggaan agama, bangsa dan negara.

“Tidak pernah saya bayangkan akan mendapat prestij sebegini. Semoga semua yang membaca coretan saya ini mendapat inspirasi, motivasi dan positivity bahawa kita sebagai orang Islam, Melayu dan Malaysia mampu mencapai kejayaan cemerlang apabila kita berusaha gigih ke arahnya. In-syaa-Allah Allah swt akan mempermudahkan dan percayalah kepada janji Allah swt bahawa setelah kesukaran akan dianugerahkan dengan kesenangan (surah al-Insyirah). Aameen.” kata Dr Syahrul Fitri.

Pengalaman Berprestij Disulami Dengan Mesej Besar Yang Dibawa Olehnya

Dalam istiadat konvokesyen tersebut, beliau turut berpeluang memberi ucapan pendek buat para hadirin yang turut disertai Canselor, Naib Canselor dan para academic procession yang disertai oleh professor-professor terbaik dalam pelbagai bidang. Pengalaman ini begitu mengujakan dan dia berasa bersyukur diberikan peluang merasai nikmat ini.

received_10152988811640736

Maka, beliau tidak mahu mensia-siakan peluang dan pengalaman ini seolah-olah dibuai angin lalu sahaja. Beliau berazam mahu meninggalkan kesan yang signifikan kepada diri, komuniti akademik dan para hadirin.

Bersama-sama isteri, beliau merancang sesuatu yang jauh bernilai dan memberi impak sebelum majlis konvokesyen berlangsung pada Khamis, 17 September 2015 di dewan Universiti Adelaide. Beliau merancang mengetengahkan warna hitam, merah, hijau dan putih yang membawa mesej kesedaran isu Palestine.

“Sambil tersenyum mereka beramah mesra dengan saya dan akhirnya menambah bicara, “Your choice of colours is so unique. Are they the colours of the flag of your country?” sambil menunjuk ke arah tali leher saya. Nampaknya niat saya untuk ‘sembang beragenda’ membuahkan hasil kerana semua yang berkenalan dengan saya, si mace bearer, akan berkenan dengan tali leher saya.” terang Dr. Syahrul Fitri.

Menurutnya sepanjang beliau 8 tahun di Australia, isu Palestine tidak dilihat sebagai isu penting sebagaimana di Ireland, United Kingdom dan Malaysia. Sesetengah menganggap isu Palestine hanyalah isu kemanusiaan semata-mata. Tambah lebih menyedihkan apabila ada orang Islam di Malaysia tidak sedar ia adalah isu sejagat, isu orang Islam dan perlu diberi bantuan dan sokongan oleh orang Islam.

Jadi, beliau mahu orang Australia secara khususnya dan orang Malaysia secara amnya melihat dirinya sebagai seorang Muslim yang berjaya dan orang Islam yang hidup untuk agama. Beliau juga mahu orang faham bahawa berjuang untuk Islam bukan semata-mata dengan cara berperang tetapi belajar bersungguh-sungguh sehingga mencapai kecemerlangan di dalam bidang yang diterajui itu juga adalah sebuah perjuangan yang mulia.

phd1

Apabila orang ramai bertemunya di majlis itu dan bertanyakan tentang kombinasi warna tali lehernya yang menarik, beliau menjelaskan hijau, merah, putih dan hitam (baju kemeja beliau) adalah warna-warna pada bendera Palestin.

“Oh, really. What’s with it?” Maka bermulalah sembang-sembang santai sementara menunggu majlis sebenar bermula. Kenapa Palestin, apa yang ada di sana, apakah kaitannya dengan saya,….

“So it means you don’t do PhD just for yourself and your family…” ini merupakan jawapan biasa yang mereka simpulkan daripada perbualan kami.

“My family is definitely very important in my life. But, I don’t limit the aim to just them. The aim is for everyone. You can tell from my look I represent Malaysia thus it’s a PhD for my people. In the success of this, it’s a PhD for all Muslims. It’s a PhD in the heart of Palestine…” saya menjawab lancar. Jujurnya saya sudah praktis untuk mengungkapkan ayat ini beberapa kali sebelum tidur setiap malam.” terang Dr. Syahrul Fitri.

Jadi Muslim Hebat Adalah Satu Perjuangan Mulia

Walaupun idea tali leher ini adalah kecil bagi sesetengah orang, ia tetap mampu membawa agenda yang besar baginya. Beliau menjelaskan lagi mesej yang mahu beliau sampaikan kepada para pembaca Vocket:

“…kalau nak sampaikan mesej, tak semestinya kena jadi penceramah atau ustaz. Tak semestinya kena menulis macam penulis hebat. Tetapi cukup dengan gaya hidup kita, pakaian kita, cara kita bercakap dan lain-lain.” jelasnya lagi.

Sebelum mengakhiri temubual bersama Vocket, Dr. Syahrul Fitri mahu menyerlahkan dua perkara penting ini:

Hidup adalah perjuangan. Kalau buat sesuatu, buatlah dengan bersungguh-sungguh. Dan hidup juga memerlukan perancangan. Kalau tidak merancang, tiada apa yang akan menjadi realiti walaupun impikan sesuatu itu setiap hari.

“Kita sebagai orang Islam kena usaha kuat dan berjaya, seterusnya jadi pemimpin-pemimpin. Jangan harapkan orang lain. Kita yang kena jadi leaders. Kalau nak jadi leader tak boleh malas, gagal dan lain-lain. Kena rajin. Kuat usaha dan berjaya. Barulah orang lihat kita sebagai ketua dan lain-lain.” nasihat Dr. Syahrul Fitri.

received_10152988811580736

Beliau selalu memotivasikan diri untuk melakukan sesuatu yang tidak mengikut arus orang ramai. Baginya, sebaik-baik bertindak adalah bertindak waras atas kemampuan yang ada.

Dear world, I wish to say this and please listen to me. I have worked very hard. Really hard. With blood and tears. It’s a PhD For Ummah.

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram