Pihak pengurusan Paul Walker tampil membuat penafian rasmi berhubung laporan tidak tepat yang tular di platform media sosial mengenai penjualan jentera ikonik Toyota Supra 1998 milik mendiang daripada filem Furious 7.

Menurut kenyataan tersebut, anak perempuan mendiang tidak pernah menjual atau meletakkan kenderaan berkenaan di mana-mana acara lelongan.

Jentera tersebut kini dipamerkan secara rasmi di Petersen Automotive Museum menerusi pameran A Fast & Furious Legacy yang berlangsung sehingga April 2027, serta kekal sebagai hak milik penuh koleksi peribadi Meadow.

Terdahulu, kelibat kereta tersebut di Petersen Automotive Museum bagi pameran A Fast & Furious Legacy disalah tafsir oleh sesetengah pihak sebagai persediaan lelongan.

Untuk rekod, beberapa kenderaan daripada koleksi peribadi mendiang pernah dilelong sebelum ini melalui acara Barrett-Jackson, sekali gus menimbulkan tanggapan awal bahawa jentera ini turut dijual.