Anak kepada Presiden Serbia, Aleksandar Vucic iaitu Danilo Vucic terlibat dalam pergaduhan antara peminat skuad kebangsaan negara itu dengan peminat England ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi pembukaan kumpulan C temasya UEFA Euro 2024.

Sebelum kejohanan bermula, pihak penganjur meletakkan aksi antara dua pasukan ini sebagai perlawanan yang perlu diberikan perhatian ketat kerana peminat dari dua negara memiliki sekumpulan hooligans yang berbahaya dan selalu mencetuskan pergaduhan dengan peminat lain.

Baca Juga:

Perkara yang paling dirisaukan akhirnya terjadi dimana peminat kedua pasukan bertempur sebelum perlawanan bermula dan beberapa restoran menjadi mangsa dimana meja dan kerusi dijadikan senjata untuk digunakan ke atas satu sama lain.

Danilo yang kebetulan berada hampir dengan tempat kejadian kemudiannya mahu menyertai hooligans Serbia untuk memukul peminat England dan video beliau telah tular di laman media sosial.

Mujur pegawai kerajaan yang mengiringi Danilo sepanjang beliau berada di Jerman menghalang anak muda itu daripada menyertai kekecohan tersebut.

Pihak berkuasa tempatan kemudiannya menahan lapan individu dan menurut pihak polis pergaduhan tercetus ekoran peminat England yang masuk ke dalam restoran stik yang dipenuhi dengan peminat pasukan lawan.

Seorang peminat Inggeris telah dirawat di hospital tetapi dibenarkan keluar untuk menghadiri perlawanan di Arena AufSchalke yang berkapasiti 50,000 orang. England menang 1-0 selepas tandukan Jude Bellingham pada minit ke-13.

“Sekumpulan peminat Serbia sudah berada di restoran dan jelas sekali mereka makan di sana dan kemudian kumpulan peminat Inggeris yang lebih besar cuba masuk ke restoran ini juga. Dan itulah yang mencetuskan pertikaian.

“Apa yang sukar kita katakan sekarang, sudah tentu, jika difikirkan semula, adakah orang Serbia enggan membenarkan orang Inggeris masuk atau adakah orang Inggeris memprovokasi orang Serbia? Sudah tentu, ini sukar untuk dicerahkan selepas itu. Hakikatnya apabila mereka cuba memasuki pub itu, berlaku pertengkaran fizikal serta-merta.

“Kami kemudiannya membuat beberapa penahanan. Kami menjalankan kira-kira 50 pemeriksaan identiti. Kami menahan lapan peminat sebelum perlawanan, yang kemudiannya mereka tidak dapat menonton perlawanan itu,” kata pihak polis.