Malaysia berjaya menamatkan kemarau kemenangan 11 tahun ke atas Vietnam. Skuad bimbingan Peter Cklamovski kali ini mendominasi lawan dari awal sehingga ke akhir permainan.

Formasi asas
Malaysia bermain dengan sistem 3-4-3. Dengan Matthew Davies menjadi bek tengah kanan. Peranan bek sayap kanan diberikan kepada Dion Cools.
Di tengah, Malaysia bermain dengan sistem pivot kembar atau double pivot – Nooa Laine, Hector Hevel.
Serangan bertiga pula dimainkan Arif Aiman, Holgado dan Figueiredo yang bermula sebagai pemain penyerang sayap kiri.
Pasukan Vietnam juga tampil dengan formasi asas yang sama. Namun dengan sistem lebih defensif berbanding dengan Malaaysia.
Peter Cklamovski tekankan aspek intensiti, fizikaliti dan progresif
Peter Cklamovski tidak terlalu ‘overthinking’ untuk memikirkan aspek taktikal yang fluid atau permainan kombinasi yangg kompleks.
Namun penekanan daripada awal adalah aspek disiplin dalam formasi takktikal. Keutamaan diberikan kepada aspek intensiti dan fizikaliti.
Dengan sistem formasi Vietnam juga 3-4-3, memudahkan Cklamovski untuk mengarahkan pemain menekan atau pressing lawan dengan sistem 1 v 1. Sistem ini ‘straight forward’, mudah dan jelas.
Pasukan ini baru dibina, pemain baru bermain bersama. Jadi penekanan lebih kepada asas dalam bola sepak dan arahan taktikal yang tidak membebankan.
Dari segi intensiti, Malaysia menekan dari awal permainan sehingga ke akhir permainan.
Ianya membuatkan Vietnam benar benar terseksa keletihan gagal bersaing dengan stamina pemain pemain Malaysia yang rata rata bermain dan dibangunkan di liga berkualiti tinggi.
Seterusnya, dari aspek fizikal, Malaysia benar benar mendominasi Vietnam dari sudut duel.
Vietnam cuma ada satu jalan samar
Jalan samar yang dimaksudkan adalah, serangan balas. Vietnam bertahan dengan 9 atau 10 pemain di belakang bola. Dan cuba menyakitkan Malaysia dengan serangan balas.
Itu sahaja opsyen yang mereka ada dalam perlawanan ini. Namun itu pun samar samar sama ada mereka boleh gunakan atau tidak.
Kerana mereka sukar untuk melepasi mana mana koridor serangan balas atas padang. Malaysia yang menolak ramai pemain ke zon serangan masih memiliki kelebihan numerikal kerana Vietnam bertahan terlalu ramai.
Lihat situasi ini, Vietnam cuba menyerang balas namun dengan mudah dimatikkan. Situasi ini mereka hadapi sepanjang malam.
Vietnam gagal mengekang Malaysia yang progresif
Walaupun Malaysia dominan daripada awal permainan namun di zon serangan Malaysia awalnya tumpul dan tidak cukup tajam.
Namun begitu, Malaysia meningkatkan gaya permainan mereka secara stabil dan berterusan ataupun progresif. Bermakna, Vietnam perlu mengekang peningkatan kestabilan ini.
Wisel separuh masa pertama menjadi penyelamat Vietnam buat seketika, kerana tempo permainan Malaysia dan keserasian pemain semakin baik.
Pada separuh masa kedua, Vietnam cuba bermain bola sepak gaya mereka. Ini memberikan ruang kepada Malaysia memiliki lebih ruanga dan meningkatkan dominasi di zon serangan.
Figueiredo dan Arif Aiman berjaya meningkatkan pengaruh mereka dalam permainan. Arif Aiman pada separuh masa pertama melakukan beberapa siri decision making yang teragak agak.
Memperbaikinya pada separuh masa kedua. Dan dia lebih semulajad bermain gaya permainannya. Dia mencipta peluang kepada Holgado, yang melakukan sentuhan pertama sangat ‘mahal’ yang menghasilkan gol.
Gol tersebut meningkatkan lagi keyakinan Arif Aiman dan dia mencipta satu lagi assist selepas itu.
Malaysia semakin baik dan akhirnya berterusan menembusi gawang Vietnam.
Persembahan Joao Figueiredo
Dia adalah pemain terbaik dalam perlawanan ini. Berkesan menjadi pemain sayap dan berkesan sebagai no.9.
Ketika rakan rakannya yang lain sedikit bergelut mencari keserasian, dia menawarkan diri untukk sentiasa cuba menerima bola dan meningkatkan karakter serangan Malaysia bersamanya.
Dia sepatutnya mendapat gol lebih awal pada separuh masa pertama. Tetapi persembahannya yang efektif dalam 2 posisi berbeza adalah sangat mengagumkan.
Rumusan
Ini adalah kemenangan profesional dicatatkan Malaysia. Jika sebelum ini peminat selalu mengomel tentang intensiti melemah selepas 50 atau 60 minit.
Perlawanan ini bukti, jika intensiti itu dikekalkan sehingga 80 ke 90 minit, maka pasukan Malaysia akan dapat mengelakkkan diri daripada melakukan kesilapan selepas mendahului.
Dan kenapa kami panggil ianya kemenangan profesional? Ini kerana sikap jurulatih dan pemain.
Jurulatih tidak terlalu ‘fancy’ untuk memikirkan gaya permainan ala Guardiola misalnya. Oleh sebab itu kami anggap Cklamovski tak perlukan ‘sains roket’ untuk memikirkan taktikal yang dia mahu terapkan.
Sebaliknya meminta pemain kekal bermain dalam formasi tersusun dan basic football. Bola sepak dominan-progresif.
Dapat bola, hantar terus kepada rakan. Kompak ketika bertahan, dan kekal ‘wide’ serta unit ramai ketika menyerang. Mudah bukan?
Malah sebenarnya, peminat dan pundit yang lebih rumit memikirkan apakah taktikal yang bakal dijelmakan Cklamovski dengan set pemain yang ada. Ternyata beliau, memilih jalan yang lebih bijak dan tepat.
Pemain pula, walaupun baru bergandingan bersama, mereka mempercayai antara satu sama lain dan seperti sudah lama bermain bersama.
Kelayakan Piala Asia 2027: Harimau Malaya Belasah Vietnam 4-0
Untuk tugasan ini, ianya selesai dengan baik. Harus diingat masih banyak kerja yang harus dilakukan untuk membentuk skuad yang lebih ampuh.