Mahkamah Sesyen telah menjatuhkan hukuman denda RM12,000 terhadap seorang pekebun sawit kerana hantaran media sosial yang berbaur ancaman kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) menerusi Facebook, tahun lalu.

Hakim Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Samsuri Ramli, 45, selepas tertuduh mengaku bersalah di atas pertuduhannya.

Baca Juga:

Siti turut memerintahkan Samsuri dipenjara selama enam bulan jika gagal melunaskan denda tersebut.

Menurut BH Online, Samsuri didakwa secara sedar telah membuat satu hantaran menghina YDPA pada ketika itu.

Dia menyunting ‘sifat’ Agong dengan gambar yang diletakkan kapsyen: ‘PN (Perikatan Nasional) Best Amaran Anak Muda Kepada YDPA (Yang di-Pertuan Agong)’ dan ‘Turunkan Anwar (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) Atau Kami Turunkan Agong’ dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Tertuduh melakukan kesalahan itu menerusi platform media sosial Facebook dengan profil menggunakan nama ‘SamBanjar Perak’ pada jam 5.33 petang, 13 Ogos 2023.

Pertuduhan dibuat ke atas Samsuri mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). Di mana sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

Selain itu tertuduh juga tertakluk kepada denda selanjutnya sebanyak RM1,000 bagi setiap hari kesalahan tersebut diteruskan selepas penerbitannya dibuat.

Samsuri tidak diwakili peguam telah memohon hakim mengenakan hukuman ringan ke atasnya. Kerana dia masih menanggung ibu, isteri dan empat orang anaknya yang masih bersekolah.

Sambil menegaskan bahawa dia bekerja sebagai peneroka FELDA yang pendapatannya tidak tetap.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal, menganggap tindakan Samsuri itu tidak wajar kerana tidak menunjukka kesetiaan serta kehormatan kepada raja. Dan berharap hukuman setimpal dijatuhkan sebagai pengajaran kepada Samsuri dan pengguna media sosial yang lain.