Skuad kebangsaan Nigeria berdepan ‘mimpi buruk’ apabila terperangkap lebih 12 jam dalam salah sebuah lapangan terbang di Libya.

Hal ini kerana pesawat yang sepatutnya membawa kem skuad Nigeria ke Lapangan Terbang Benghazi telah dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Al-Abraq, kira-kira dua jam perjalanan daripada kawasan ingin dituju.

Baca Juga:

Perkara tersebut disifatkan oleh ketua pasukan, William Troost-Ekong sebagai perang psikologi menjelang pertemuan kedua-dua negara itu dalam Kelayakan Africa Cup of Nations 2025.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di laman X peribadi miliknya, Troost-Ekong mendedahkan bahawa pintu lapangan terbang dikunci dan membiarkan mereka tanpa makanan, minuman dan talian telefon.

Malah, beliau yang kini berkelana ke Arab Saudi untuk mewakili kelab Al-Kholood turut memuatnaik beberapa foto keadaan di lapangan terbang tersebut dimana kelihatan pemain-pemain terpaksa tidur di atas kerusi.

“12 jam lebih di lapangan terbang terbiar di Libya selepas pesawat kami dilencongkan semasa pendaratan. Kerajaan Libya membatalkan pendaratan kami yang diluluskan di Benghazi tanpa sebab.”

“Mereka telah mengunci pagar lapangan terbang dan meninggalkan kami tanpa talian telefon, makanan atau minuman. Semuanya adalah untuk perang minda.”

“Saya pernah mengalami pengalaman sebelum ini ketika bermain bermain di tempat lawan di Afrika, tetapi ini adalah tindakan yang memalukan.”

“Malah, Juruterbang Tunisia yang berjaya menavigasi perubahan saat akhir ke lapangan terbang yang tidak sesuai untuk pesawat kami mendarat juga tidak pernah melihat sesuatu seperti ini sebelum ini.”

“Sebaik tiba, juruterbang tersebut cuba mencari lapangan terbang berdekatan untuk berehat bersama anak kapalnya, tetapi ditolak di setiap hotel atas arahan Kerajaan Libya.”

“Mereka (juruterbang dan kru) dibenarkan tidur di sana tetapi dengan syarat tiada anggota kru Nigeria dibenarkan. Mereka kembali untuk tidur di pesawat yang diparkir.”

“Pada ketika ini, kami telah memohon agar kerajaan Nigeria campur tangan dan menyelamatkan kami. Sebagai kapten bersama pasukan, kami telah memutuskan bahawa kami tidak akan bermain permainan ini. CAF (Konfederasi Bola Sepak Afrika) seharusnya melihat laporan dan apa yang sedang berlaku di sini.”

Perkembangan terbaharu disahkan sendiri oleh William Troost-Ekong menyaksikan skuad Super Eagles akan pulang ke Nigeria dalam masa terdekat.