Baru-baru ini tular satu klip video menunjukkan seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diserang oleh seorang lelaki selepas mengekori sebuah lori Nissan Vannette.

Menurut kenyataan rasmi JPJ yang dikeluarkan sebentar tadi, kejadian tersebut berlaku di Jalan Tasik Darul Aman, Jitra, Kedah. Anggota JPJ yang bertugas diserang, dihambur dengan kata-kata kesat serta berlaku provokasi.

Baca Juga:

Ketika kejadian pada 22.11.2023, pukul 4.04 petang, anggota bertugas sedang melakukan tugasan rondaan penguatkuasaan dan telah mengesan sebuah kenderaan yang mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat tiga kesalahan yang telah dikesan iaitu Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan perakuan PUSPAKOM tamat tempoh.

“Kenderaan tersebut telah diarahkan untuk berhenti namun pemandu enggan memberi kerjasama. Ketika berjaya ditahan, pihak yang terlibat telah melakukan kekerasan jenayah dan menghalang penjawat awam daripada melakukan tugas,” petik kenyataan JPJ Negeri Kedah.

Rentetan daripada kejadian tersebut, satu laporan polis telah dibuat oleh anggota bertugas.

Manakala pihak yang terlibat telah ditahan oleh pihak polis dan diakwa di Mahkamah Majistret Jitra di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara satu hari dari tarikh sabitan dan denda sebanyak RM4,000.

“JPJ Negeri Kedah ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak berkongsi sebarang video tanpa mengetahui kesahihannya terlebih dahulu, dengan mencemarkan imej perkhidmatan awam serta tidak menghalang penjawat awam dalam melaksanakan tugasan berdasarkan peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan.

“Kerjasama daripada semua pihak amatlah dihargai,” petik kenyataan rasmi.