Malam tadi kecoh di Jalan Persiaran Wawasan sekitar jam 10.20 malam apabila sebuah pikap polis yang dikatakan sedang meronda telah terlibat dalam nahas ngeri, bertembung dengan dua motosikal, menyebabkan seorang penunggang maut di tempat kejadian dan seorang lagi cedera parah.
Paling mengejutkan, siasatan awal mendapati kemalangan maut ini dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu pikap polis itu sendiri, menyebabkan anggota polis berkenaan kini sudah ditahan bagi membantu siasatan!
Menurut Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, mangsa yang terkorban dalam insiden tragis ini adalah seorang penunggang motosikal berusia 24 tahun manakala rakannya yang berusia 25 tahun cedera parah. Difahamkan, kedua-dua mereka sedang dalam perjalanan dari arah Seriab menuju ke kawasan Gua Sami
“Anggota yang memandu pikap polis itu ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media hari ini sambil meminta saksi kejadian tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.
Laporan daripada Harian Metro, mayat mangsa nahas telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk proses bedah siasat. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau membahayakan.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, turut tampil berpesan: ‘Tolonglah, jangan buat sebarang spekulasi atau ambil tindakan sendiri yang boleh kacau ketenteraman awam! Serahkan kepada pihak berkuasa.