Insiden tragis berlaku melibatkan seorang anggota tentera Malaysia yang maut dipercayai ditembak oleh seorang pemburu di kawasan hutan Song, Sarawak.

Menurut Malay Mail, anggota yang terbunuh dikenalpasti sebagai Petrus Linggi Liman, 29 tahun, daripada Batalion Ke-9 Briged Sibu.

Beliau bersama rakan-rakan sepasukannya sedang menjalani latihan ketenteraan di kawasan Kanowit-Nanga Dap-Song sejak 21 hingga 29 September.

Menurut kenyataan rasmi daripada Sel Perhubungan Awam Markas Tentera Darat Malaysia, kejadian berlaku pada jam lebih kurang 2.45 pagi apabila platun yang terlibat sedang berehat.

Terdengar bunyi sebuah motosikal melalui laluan berhampiran, diikuti dengan satu bunyi letupan yang disyaki tembakan dari arah motosikal tersebut.

Tindakan pantas platun yang melakukan pemeriksaan perimeter menemui Petrus yang cedera parah akibat tembakan.

Bantuan kecemasan segera diberikan di tempat kejadian sebelum mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Song pada jam 4 pagi.

Selepas itu, beliau dirujuk ke Hospital Kapit untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia pada jam 7.43 pagi kerana kecederaan yang dialami.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dihubungi sejurus selepas insiden berlaku, dan pihak polis sedang giat memburu suspek yang belum dikenalpasti.

Ketua Polis Daerah Song, DSP Rowney Michael Jalak, memaklumkan bahawa panggilan pertama diterima sekitar waktu kejadian dan usaha sedang dijalankan untuk mengenal pasti serta menahan pelaku.

Sementara itu, pihak tentera telah memaklumkan keluarga mangsa yang berada di Sarikei mengenai insiden ini dan akan menguruskan segala persiapan pengebumian sebaik sahaja proses bedah siasat selesai.

Tentera Darat Malaysia juga menyeru agar orang ramai menghormati privasi keluarga mangsa dan tidak menyebarkan sebarang gambar atau maklumat yang tidak sahih, memandangkan siasatan masih berjalan.