Kes culik sememangnya menjadi menjadi mimpi ngeri buat semua ibu bapa kerana risaukan pelbagai kecelakaan yang boleh terhadap anak kesayangannya.

Bagaimanapun, pada hari semalam, sekali lagi tular kisah penculikan menggunakan van putih di Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah yang melibatkan remaja perempuan berusia 13 tahun.

Menerusi hantaran yang tular di Facebook itu, mangsa mendakwa mulutnya ditekup dan dibawa lari menggunakan van putih.

Namun, dia dikatakan sempat melarikan diri selepas penculik berhenti untuk ke tandas di Hotel Sutera Harbour dan diselamatkan oleh seorang penduduk tempatan.

Hantaran itu ternyata meraih perhatian pengguna internet sekaligus memohon orang ramai untuk lebih berwaspada akan keselamatan anak masing-masing.

Bagaimanapun, kisah insiden itu ada sedikit kejutan apabila hasil siasatan mendapati remaja berkenaan sengaja mengada-adakan cerita dirinya diculik kerana enggan menghadiri kelas mengaji.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Kasim Muda, hasil soal siasat dan rakaman percakapan mangsa, saksi dan siasatan di tempat kejadian mendapati wujudnya keraguan dalam dakwaan penculikan tersebut.

“Mangsa juga takut dimarahi oleh pengadu (ibunya) kerana enggan hadir (ke kelas) mengaji,” kata beliau yang dipetik daripada Harian Metro.

Ujar Kasim lagi, siasatan lanjut turut mendapati mangsa berjalan-jalan di Plaza Wawasan sehingga dikesan oleh pengawal keselamatan Wisma Sedco kerana berada lama dalam bangunan berkenaan.

Remaja itu telah diserah kepada ibu bapanya dan dinasihatkan agar tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Dalam pada itu, Kasim turut mengingatkan kepada golongan remaja agar tidak mereka cerita terutamanya berkaitan kes jenayah kerana ia boleh menimbulkan panik dan juga merupakan satu kesalahan kerana membuat laporan palsu.

“Perbuatan itu juga menyusahkan pihak polis selain membuang masa dan tenaga melakukan siasatan,” ujarnya.

Sumber