Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim terkilan dengan tindakan segelintir pihak yang suka mengungkit balik video lamanya ketika berucap dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12), 16 tahun lalu.

Ini kerana situasinya adalah tidak sama, menurut Anwar. Beliau menjelaskan bahawa harga minyak Malaysia ketika itu lebih tinggi daripada harga minyak di kalangan negara negara pengeluar minyak seperti Arab Saudi.

Kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi subjek kritikan sekali lagi ketika melaksanakan subsidi bersasar untuk diesel bermula 10 Jun.

Ianya sebahagian daripada langkah dalam pembaharuan ekonomi di bawah Ekonomi Madani. Pelaksanaan itu melibatkan negeri negeri di Semenanjung Malaysia sahaja.

Dipetik daripada Sinar Harian, PMX berkata: “(Rakaman video) Yang mengatakan saya ulang hari ini menang, esok harga minyak turun.

“Saya sebut itu tahun 2008 kerana harga minyak di Arab Saudi sekitar 50 sen manakala kita RM1.80.

“Sekarang kos sudah bertambah RM2.05 di Arab Saudi dan kita RM2.95, minyak murah ini hanya di Brunei.”

“Macamana kamu nak bandingkan kos pada tahun 2008 dengan tahun 2024.”

Anwar menegaskan kerajaan pimpinannya sentiasa cuba sedaya upaya mahu memastikan rakyat yang susah tidak terkesan. Kerajaan sudah membuat kajian sangat teliti. Dan sedia membantu sesiapa sahaja yang terkesan.

Anwar kemudian menambah bahawa, Malaysia antara negara yang memiliki kadar inflasi yang rendah di rantau Asia Tenggara. Ini bermakna kenaikan harga barang hanya berlaku dalam kadar sedikit sahaja.

Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau seringkali disindir setiap kali harga barang naik. Seolah olah beliau pernah berjanji bahawa jika rakyat memilih dia sebagai perdana menteri maka harga barang tidak akan naik.

“Saya nak maklum kepada saudara, kita fikir betul-betul, sekarang saya Perdana Menteri, saya tidak mahu kenaikan.

“Kalau kata kadar inflasi rendah, memang rendah tapi maknanya apa? Harga barang naik sikit.

“Saya tidak kata barang tidak naik. Tapi kadang-kadang dalam perbincangan kita (menyebut) Anwar kata barang tidak naik. Tak ada.

“Inflasi yang terendah di ASEAN maknanya kenaikan kecil masih berlaku,” kata Anwar Ibrahim lagi.