Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa Malaysia memerlukan kekuatan dan komitmen seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama bagi melonjakkan negara ke tahap terbaik dan bermaruah.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas sempena Aidilfitri. Di mana Anwar berkata negara tidak boleh menyisihkan atau memusuhi mana-mana kelompok serta kaum sama ada majoriti mahupun minoriti atas apa jua alasan.

Baca Juga:

Namun beliau tetap mengingatkan bahawa pembinaan bangsa itu bukan alasan untuk meremehkan kepentingan Islam sebagai agama Persekutuan dan meningkatkan pelaksanaan syariah di negara ini.

Dipetik dari sumber Bernama, Anwar berkata:

“Malah kita harus tegas, pasti dan tidak kelihatan bertolak ansur dalam kesungguhan kita memupuk nilai dan membina negara yang bermaruah.

“Namun jangan kita anggap ini sebagai suatu sijil, peluang untuk meremehkan, menghina atau merosakkan kaedah budaya dan cara hidup orang lain. Inilah perimbangan, keseimbangan yang perlu dipertahankan dalam semangat kita di Malaysia merayakan Hari Raya Aidilfitri Mubarak.”

Seterusnya, PMX turut mengajak rakyat menghayati makna Hari Raya itu sendiri.

Di mana umat Islam meraikan kemenangan setelah berjaya kembali kepada fitrah kemanusiaan menerusi Ramadan yang menjadi ‘madrasah ruhiyyah’ untuk meninggalkan amalan dan budaya lama yang merosakkan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa usaha untuk mencapai kemenangan itu harus ada tekad kerana setiap perjuangan memerlukan kesabaran, kebijaksanaan dan perencanaan yang cermat bagi mengimbangi seluruh aspek kenegaraan.

Beliau menambah: “Kegopohan menjanjikan kegagalan dalam pentadbiran kerajaan hari ini, kita mesti menimba pengalaman dan kebijaksanaan tokoh negarawan silam supaya menghindar yang mudarat dan mengangkat serta mencipta manfaat.

“Kita tidak menuntut semata-mata, perakuan dan kepujian malah teguran dan kritikan yang membina juga amat diperlukan dalam negara. Negara kita harus memupuk nilai-nilai supaya ‘karamah insaniah’ diperteguh.” katanya.

Seterusnya, Anwar mengajak seluruh umat Islam agar mengambil peluang untuk saling bermaafan jika ada ketelanjuran dan kekhilafan.

Dan beliau menganggap ungkapan ‘Maaf Zahir dan Batin’ sering diucapkan setiap kali sambutan 1 Syawal sebagai tradisi istimewa rakyat Malaysia yang tidak diamalkan oleh umat Islam di negara lain.

“Ini tonggak mesej Islam itu sendiri, berjumpa bermaaflah. Kita semua lakukan kesalahan kesilapan. Jangan kita terlalu sombong untuk mengaku bahawa kita sudah sempurna.

“Ada keterlanjuran, ada kata-kata kesat, ada kemarahan. Maka ambillah peluang ini maaf zahir batin dengan keluasan yang terpancar dari hati nurani.” tegas beliau lagi.

Akhir sekali, PMX turut meminta maaf kepada seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia sekiranya ada keterlanjuran kata, kesilapan bahasa ataupun yang telah menyentuh perasaan.

“Kita doa supaya kita punya kekuatan yang cukup bina perpaduan, rancak pertumbuhan, kasih pada yang melarat, memperkasa rakyat dan menjelmakan kejayaan. Malaysia mesti terus kuat dan makmur,” katanya yang sambil mengucapkan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri’ kepada seluruh umat Islam.

Dia turut mendoakan keselamatan kepada mereka yang pulang ke kampung halaman.

“Mereka yang melakukan perjalanan untuk pulang ke kampung halaman juga dinasihati supaya memandu dengan cermat dan ingat kepada yang tersayang,” katanya lagi.

— BERNAMA