Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pihak kerajaan tidak menghapuskan subsidi diesel. Sebaliknya masih menanggung sekitar RM7 bilion diesel di Semenanjung Malaysia.

Memetik Harian Metro, apa yang dilakukan kini adalah memastikan pengurusan subsidi yang lebih cekap, tidak tiris dan sampai kepada kumpulan rakyat yang selayaknya.

Baca Juga:

“Tujuan utama dalam dasar penyasaran subsidi diesel ini adalah memastikan pembaziran subsidi tidak lagi diteruskan sambil memastikan penjimatan mesti dipulangkan kepada rakyat terbanyak.

“Hasil penjimatan daripada penyasaran subsidi ini tentunya akan dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam dan lain-lain sektor yang memberi dampak terbesar kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, sebanyak 6,441,118 liter minyak diesel dianggarkan berjumlah RM14,208,824 dirampas sehingga 31 Disember tahun lalu.

Jelas beliau lagi, kerajaan Madani akan kekal komited menyelesaikan isu penyeludupan diesel. Pada masa sama mengimbanginya perihal bekalan dan kos sara hidup rakyat, petik Harian Metro.

Terdahulu, Anwar Ibrahim meluahkan rasa terkilan terhadap pihak yang suka mengungkit balik video lamanya — “‘Hari ini menang, esok harga minyak turun’.

Beliau menjelaskan pada ketika itu harga minyak dunia masih rendah. Berbeza dengan sekarang, kos minyak mentah dunia sudah meningkat.

Untuk rekod, harga diesel tanpa subsidi dijual pada kadar RM3.35 seliter bermula 9 Jun lalu. Bagaimanapun rakyat masih boleh mendapatkan bantuan bulanan subsidi bernilai RM200 menerusi program BUDI MADANI.