Isu pemindahan hak milik pengurusan Menara Kuala Lumpur (Menara KL) telah mendapat perhatian umum. Perkara yang mula dibangkitkan di media sosial ini bukan sahaja mendapat perhatian netizen, malah beberapa agensi sudah mula menggerakkan usaha untuk menyiasat perkara tersebut.

Sebelum ini Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) difahamkan memandang serius isu pengambilalihan pengurusan Menara Kuala Lumpur (Menara KL) oleh syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd. Menterinya, Fahmi Fadzil, memaklumkan beliau sudah menerima taklimat terperinci berkaitan konsensi pengurusan Menara KL pada 14 Disember yang lalu, lapor Berita Harian.

Selepas Fahmi mengeluarkan kenyataannya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kertas siasatan bagi tindakan lanjut selepas mendapati ada kecurigaan dalam pemindahan hak milik pengurusan bangunan tersebut. SPRM juga difahamkan telah memanggil tiga saksi mengetahui lebih dalam isu pemindahan hak milik pengurusan Menara KL.

Menurut Berita Harian, SPRM akan menyiasat bahawa wujud atau tidak penyelewengan dalam penjualan saham anak syarikat Telekom Malaysia (TM), Menara KL Sdn Bhd (MKLSB), kepada Hydroshoppe Sdn Bhd pada Oktober lalu, berhubung pengambilalihan pengurusan Menara KL.

Ini apa yang anda perlu tahu

Melalui pendedahan Adrian Lim Chee Ann, difahamkan pada 2021, Telekom Malaysia Berhad telah menyatakan hasrat untuk berundur daripada bahagian hartanah dan pelancongan kerana mahu menumpukan perhatian penuh kepada perniagaan utama mereka, iaitu telekomunikasi.

Menara KL kemudiannya telah diambil alih oleh syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd yang didakwa oleh beliau sebagai ‘syarikat yang bermasalahan dan hampir dinyahsenaraikan dari SSM kerana gagal membuat perisytiharan dan pemfailan mengikut jadual.’

Apa yang lebih curiga adalah, 4 syarikat yang disenarai pendek selain daripada Hydroshoppe mempunyai latar perniagaan dalam bidang pembangunan dan pengurusan hartanah yang jauh lebih baik daripada Hydroshoppe.

“Tetapi entah kenapa, keempat-empat syarikat tersebut telah tersingkir. Yang mendapat keistimewaan dan dipilih ialah Hydroshoppe. Hydroshoppe ialah syarikat Ali Baba yang tidak mempunyai apa-apa latar belakang relevan.

“Keupayaan kewangan Hydroshoppe adalah diragui. Ketidakupayaan Hydroshoppe adalah terbukti kerana SSM telah membuat proses striking off terhadap mereka sebanyak dua kali- tahun 2016 dan Jun 2022,” katanya di dalam catatan Facebook beliau.

Sebelum ini juga, Menara KL telah mencatat untung yang sangat baik. Contohnya, sebelum COVID-19, Menara KL telah mencatat keuntungan bersih sebanyak RM20 juta dan pada 2018 pula, Menara KL mencatat untung sebanyak RM25 juta. Keuntungan ini bukan sahaja memberi kesan positif kepada Menara KL, tetapi membawa keuntungan kepada Telekom Malaysia Berhad juga.

Bagaimanapun, selepas pembubaran Parlimen, saham-saham yang dimiliki Telekom Malaysia dalam Menara KL Sdn Bhd telah dipindahkan secara senyap kepada Hydroshoppe.

“Yang peliknya, pada 31 Oktober 2022, iaitu tarikh selepas Parlimen dibubar, 10 juta saham yang dimiliki oleh Telekom Malaysia Berhad dalam Menara KL Sdn Bhd telah dipindahkan secara senyap-senyap kepada Hydroshoppe Sdn Bhd,” dakwa Adrian.

Apa yang menimbulkan persoalan adalah bagaimana syarikat yang bermasalah dan tidak mempunyai latar belakang pengurusan perniagaan yang baik telah mendapat hak untuk mengurus Menara KL. Selain itu, mengapa keuntungan bersih Menara KL yang berpuluh-puluh juta ringgit setahun itu dipindahkan kepada sebuah syarikat yang bermasalah.

“Secara ringkasnya, berpuluh-puluh juta ringgit keuntungan bersih yang pada asalnya sedang dinikmati oleh Telekom Malaysia Berhad (negara dan rakyat) telah diserah kepada beberapa orang insan terpilih (Hydroshoppe Sdn Bhd).

“Berpuluh-puluh juta ringgit ini pada asalnya sedang dinikmati oleh rakyat Malaysia melalui pemilikan saham Telekom Malaysia Berhad, pembinaan menara telco, perkembangan jaringan komunikasi di kawasan-kawasan desa dan sebagainya.

“Tetapi tiba-tiba dihentikan dan disalurkan kepada beberapa orang insan terpilih dalam Hydroshoppe Sdn Bhd.

“Maka rakyat marhaen tidak akan merasai limpahan nikmat berpuluh-puluh juta ringgit tersebut di masa akan datang.

“Sebaliknya beberapa insan terpilih dalam Hydroshoppe Sdn Bhd sahaja yang akan menikmati berpuluh-puluh juta ringgit tersebut,” katanya.