Syarikat e-hailing yang diasaskan di Rusia, Maxim dan inDrive, telah diberikan tempoh percubaan selama tiga bulan bermula esok, selepas berjaya merayu terhadap pembatalan lesen operasi mereka.
Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) memaklumkan bahawa tindakan pembetulan yang diambil oleh kedua-dua syarikat itu dianggap memuaskan, petik New Straits Times.
Baca Juga:
- ‘Kami Akan Sentiasa Patuh Undang-Undang’ – Maxim Berbincang Dengan Pihak Berkuasa

- Anthony Loke Arah InDrive, Maxim Berhenti Operasi 24 Julai Ini

Wakil syarikat dikehendaki menghadiri mesyuarat bulanan bersama APAD sepanjang tempoh pemantauan tersebut.
“Pada 11 Julai, APAD telah menjalankan pemeriksaan rawak terhadap pemandu di bawah inDrive dan Maxim dan mendapati semua pemandu yang diperiksa memiliki Permit Kenderaan E-Hailing (EVP) yang sah, berdasarkan semakan silang dengan rekod APAD.
“Berdasarkan penilaian dan semakan APAD serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), tindakan pembetulan dan komitmen yang ditunjukkan oleh kedua-dua operator didapati memuaskan.
“Walaupun kedua-dua syarikat kini dibenarkan untuk terus beroperasi, mereka akan kekal di bawah tempoh pemantauan selama tiga bulan bermula 24 Julai.
“Tindakan tegas mengikut Seksyen 12A(5) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 boleh diambil sekiranya mereka gagal mematuhi mana-mana syarat perkhidmatan yang ditetapkan,” menurut kenyataan APAD.
Tambah kenyataan itu, kedua-dua syarikat juga telah menambah baik sistem pendaftaran pemandu mereka bagi memastikan semua pemandu mempunyai EVP yang sah sebelum menerima tugasan.
Sebagai langkah tambahan, mereka turut memberikan akses “paparan sahaja” kepada APAD untuk memudahkan semakan silang antara data syarikat dan rekod EVP.
Mengenai mesyuarat bulanan bersama APAD, jumlah kehadiran yang diperlukan akan ditentukan oleh APAD berdasarkan tahap pemantauan dan isu semasa.
“Sesi ini bertujuan membolehkan pemantauan secara masa nyata, termasuk pemeriksaan rawak terhadap pemandu melalui aplikasi inDrive dan Maxim,” katanya.