Ruang ulasan di platform muat turun aplikasi kebiasaannya menjadi medan untuk pengguna menyalurkan maklum balas membina demi penambahbaikan.

Namun, senario berbeza melanda aplikasi MyGov apabila ia menjadi sasaran penarafan satu bintang hanya gara-gara menggunakan Bahasa Melayu.

Jika anda melawati laman muat turun aplikasi MyGOV di Apple Store, boleh didapati sejumlah komen terutamanya di penarafan 1 bintang yang mengetengahkan isu ketiadaan pilihan bahasa lain berbanding berkongsi masalah teknikal yang dihadapi.

Menurut kelompok pengguna terbabit, hanya disebabkan penggunaan Bahasa Malaysia telah menjadikan pengalaman yang tidak mesra pengguna.

Boleh lihat beberapa tangkap layar yang kami dapati dari ruang rating pada aplikasi berkenaan.

Aplikasi Kerajaan Diberi 1 Bintang Ekoran Guna Bahasa Kebangsaan, Ramai Mula Persoal Jati Diri
Sumber Gambar: Apple Store

Insiden ‘serangan’ ulasan ini pantas mengundang kecaman hebat daripada netizen di platform Threads yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai dangkal dan tidak menghormati Perlembagaan.

Oleh hal yang demikian, sejumlah netizen mula mempersoalkan jati diri bagi individu yang memberi penarafan negatif dek hanya kerana tidak mempunyai pilihan Bahasa yang diingini.

“Seharusnya aplikasi tersebut menggunakan Bahasa Melayu kerana ianya adalah bahasa rasmi negara. Anda rakyat Malaysia tetapi tidak faham Bahasa Melayu? Lagipun perkataan yang digunakan di dalam app tersebut adalah perkataan yang mudah difahami,” tegur seorang netizen.

Isu ini bukan sekadar polemik tentang kepuasan pengguna aplikasi, tetapi ia menterjemahkan sentimen sebilangan individu yang dilihat masih gagal membudayakan Bahasa Kebangsaan dalam urusan rasmi negara.