Dunia teknologi global baru-baru ini dikejutkan dengan berita gergasi iPhone, Apple Inc., yang secara rasmi memfailkan saman terhadap syarikat perintis kecerdasan buatan (AI), OpenAI.
Apple mendakwa wujudnya pakatan terancang untuk mencuri rahsia dagangan dan maklumat sulit produk masa depan mereka.
Di sebalik drama undang-undang berprestij tinggi ini, perhatian rakyat Malaysia pastinya terarah kepada satu nama besar yang dinamakan secara khusus dalam dokumen mahkamah tersebut: Tang Yew Tan (atau lebih dikenali sebagai Tang Tan), Ketua Pegawai Perkakasan (Chief Hardware Officer) di OpenAI.
Anak Klang di Puncak Dunia Teknologi

Bagi komuniti teknologi tempatan, pendedahan ini adalah satu penemuan yang amat menarik. Berdasarkan carian latar belakang profesional menerusi profil LinkedIn beliau, Tang Tan rupanya merupakan anak watan Malaysia yang pernah mendapat pendidikan awal di Sekolah La Salle di Klang, Selangor.
Siapa sangka, seorang alumni sekolah koridor Klang kini memegang portfolio antara yang paling berkuasa di Silicon Valley. Sebelum menyertai OpenAI, Tang Tan membina reputasi luar biasa di Apple sebagai Naib Presiden Reka Bentuk Produk.
Beliau merupakan individu penting yang mengetuai pembangunan reka bentuk fizikal peranti ikonik dunia seperti iPhone, Apple Watch, dan AirPods.
Mengapa Apple Menyaman Tang Tan dan OpenAI?

Dalam saman yang difailkan di Mahkamah Persekutuan Utara California, Apple mendakwa OpenAI telah memancing lebih 400 bekas pekerja Apple untuk menyertai mereka.
Apple menuduh Tang Tan menggunakan pengaruh dan kedudukannya untuk menggalakkan pekerja Apple berkongsi maklumat sulit, lukisan teknikal, dan komponen produk yang belum dilancarkan.
Menurut dokumen mahkamah, Tang Tan didakwa “melatih” pekerja Apple yang ingin berhijrah ke OpenAI tentang cara-cara meletak jawatan tanpa dikesan oleh sistem keselamatan Apple. Tindakan ini didakwa bagi membolehkan mereka terus mengakses fail rahsia syarikat dalam tempoh notis dua minggu tersebut.
Bukan itu sahaja, saman ini turut menamakan seorang lagi bekas jurutera perkakasan iPhone, Chang Liu. Beliau dituduh memuat turun berpuluh-puluh fail kritikal berkaitan spesifikasi teknikal dan persembahan kejuruteraan produk rahsia Apple sebelum menyertai OpenAI pada Januari lalu.
Apple dengan lantang menyifatkan perniagaan perkakasan OpenAI yang baru setahun jagung itu dibina atas asas yang “busuk hingga ke akar umbi” (*rotten to its core*) akibat bergantung kepada teknologi yang dicuri.
Daripada Rakan Strategik Menjadi Musuh Ketat
Perkembangan ini menandakan perubahan drastik dalam hubungan kedua-dua syarikat. Sebelum ini, Apple dan OpenAI merupakan rakan kerjasama yang rapat, di mana teknologi ChatGPT milik OpenAI disepadukan ke dalam sistem pembantu digital Siri melalui platform Apple Intelligence.
Walau bagaimanapun, hubungan itu dilaporkan mula retak dan semakin tegang sejak setahun lalu. OpenAI sendiri dilaporkan tidak berpuas hati dengan hasil pulangan daripada perkongsian tersebut dan pernah mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Apple atas dakwaan pelanggaran kontrak.
Ketegangan semakin memuncak apabila OpenAI mula menunjukkan minat serius untuk membina peranti fizikal mereka sendiri berasaskan AI.
Pada tahun lalu, OpenAI telah mengambil alih sebuah syarikat permulaan perkakasan bernama io Products Inc dengan nilai AS$6.5 bilion (kira-kira RM26.45 bilion). Syarikat tersebut diasaskan bersama oleh Tang Tan selepas beliau meninggalkan Apple pada 2024, bersama pereka lagenda Apple, Jony Ive.
Apa Tindakan Seterusnya?
Pihak OpenAI dalam satu kenyataan rasmi mempertahankan diri dan menegaskan bahawa mereka “tidak mempunyai sebarang minat terhadap rahsia dagangan syarikat lain” dan mahu kekal fokus membina teknologi inovatif.
Namun, Apple tidak mahu beralih arah. Mereka menuntut perbicaraan juri dan mahu mahkamah mengeluarkan perintah supaya OpenAI memusnahkan semua bahan milik Apple, serta mereka bentuk semula mana-mana produk masa depan yang didakwa mengandungi teknologi curi tersebut.
Langkah drastik ini pastinya memberi tekanan besar kepada OpenAI yang dilaporkan sedang bersiap sedia untuk pelancaran Tawaran Awam Permulaan (IPO) tidak lama lagi.
Apa yang pasti, kes saman ini meletakkan nama Tang Tan di bawah sorotan lensa dunia. Di sebalik kontroversi undang-undang ini, profil beliau sebagai bekas pelajar La Salle Klang yang berjaya mendaki tangga kerjaya sehingga ke puncak tertinggi industri teknologi dunia tetap menjadi satu cerita yang luar biasa.