Anda pengguna iPhone X? Tahukah anda peranti anda itu bersama HomePod dan AirPods generasi pertama telah masuk senarai produk Apple yang vintage dan usang beberapa hari lalu.
Apa yang dimaksudkan dengan vintaj? Ia merujuk kepada sesuatu produk yang tidak lagi diedarkan atau dijual di cawangannya, di mana usia produk itu sudah melangkau 7 tahun sejak ia diperkenalkan di pasaran. Ia ditulis secara teliti di laman rasmi mereka.
Namun, kedai Apple dan Penyedia Perkhidmatan Sah Apple akan terus menawarkan pembaikan untuk produk vintaj sehingga dua tahun lagi, tertakluk kepada ketersediaan alat ganti.
iPhone X yang diumumkan pada 12 September 2017 dan dikeluarkan pada 3 November 2017, mewakili satu lonjakan besar dalam reka bentuk dan set ciri telefon pintar Apple.
Menjadi tanda ulang tahun ke-10 iPhone, ia memperkenalkan beberapa perubahan penting seperti penghapusan home button yang membolehkan paparan Super Retina OLED 5.8 inci yang meliputi keseluruhan skrin.
Face ID, sistem pengenalan wajah, menggantikan Touch ID untuk pengesahan, menggunakan sistem kamera TrueDepth dalam “takuk” di skrin dan model iPhone pertama yang menyokong pengecasan tanpa wayar. Rangka keluli tahan karat dan reka bentuk belakang kaca mengembalikan estetik yang lebih premium buat iPhone X.
HomePod juga diumumkan pada 5 Jun 2017 dan dikeluarkan di pasaran pada 9 Februari 2018. HomePod direka untuk memberikan audio berkualiti tinggi dan berintegrasi rapat dengan ekosistem Apple, termasuk Apple Music dan AirPlay.
Apple mengumumkan AirPods asal pada 7 September 2016 dan secara rasmi mengeluarkannya pada 13 Disember 2016. Earbud tanpa wayar ini dikira inovatif kerana integrasinya yang lancar dengan ekosistem Apple.
Walau terkini mana pun peranti anda, ia akan dilabel vintaj atau usang oleh Apple setelah tujuh tahun jenama itu memperkenalkannya. Bagi pengguna iPhone X, adakah sudah tiba masa untuk anda menukar peranti anda?