Setiap hari kita sibuk dengan kerja dan urusan harian, kadang-kadang sampai terlupa nak pantau kesihatan sendiri.

Memahami situasi ini, Apple baru sahaja memperkenalkan Apple Watch Series 12 yang didatangkan dengan sistem penderiaan kesihatan serba baharu.

Jam pintar ini kini bukan sekadar aksesori nampak bergaya di pergelangan tangan, tetapi bertindak sebagai peneman setia yang lebih peka dengan keadaan tubuh badan anda sepanjang hari.

Kuasa Dalaman S11 Dan Bacaan Jantung Paling Tepat

Apple Watch Series 12 Rasmi Dilancarkan, Kini Boleh Tahu Tahap Kelesuan Dan Tenaga Badan Anda
Screenshot

Di sebalik rekaannya yang nipis dan ringan, jam ini dipacu oleh cip S11, iaitu cip boleh pakai paling berkuasa pernah dihasilkan oleh Apple.

Menariknya, cip ini disepadukan dengan LED hijau baharu yang lebih besar dan cekap tenaga pada penderia jantung optikal. Ia kini mampu membaca degupan jantung anda secara berterusan setiap lima saat.

Tahap ketepatan penderia ini telah pun diuji menerusi kajian saintifik ke atas lebih 1,000 peserta, menjadikannya peranti boleh pakai dengan bacaan nadi paling tepat di pasaran masa kini.

Ketahui Tahap Ketersediaan Tubuh Badan Anda

Apple Watch Series 12 Rasmi Dilancarkan, Kini Boleh Tahu Tahap Kelesuan Dan Tenaga Badan Anda

Pernah tak anda bangun pagi dan rasa kurang bertenaga tapi tak pasti kenapa? Menerusi ciri baharu yang dipanggil readiness, jam ini akan menganalisis kualiti tidur, bebanan senaman, serta bacaan vital anda untuk memberikan skor harian dari angka sifar hingga sepuluh.

Ia siap memberi cadangan ringkas sama ada badan anda sudah bersedia untuk terus aktif bersenam atau cuma perlukan rehat. Selain itu, sistem ini juga mengukur variabiliti kadar jantung (HRV) sehingga 24 kali lebih kerap bagi membantu anda memahami isyarat tekanan dan pemulihan badan dengan lebih mendalam.

Pengecasan Pantas Dan Bateri Tahan Lama

Bagi anda yang selalu bergerak pantas, tak perlu lagi risau soal pengurusan kuasa.

Peranti ini mengekalkan ketahanan bateri harian selama 24 jam, dan kini menawarkan sehingga 10 jam khusus bagi senaman di luar bangunan, yang mana ia adalah peningkatan 25 peratus berbanding model sebelumnya. Paling melegakan, pengecasan pantas selama 15 minit sahaja sudah cukup untuk memberikan tambahan hayat bateri sehingga 12 jam.

Anda boleh cas sekejap waktu sedang bersiap untuk ke tempat kerja atau sebelum lelapkan mata.

Kemasan Premium Dan Perlindungan Skrin Lasak

Sesuai dengan pelbagai citarasa pengguna, ia ditawarkan dalam pilihan kemasan aluminium, titanium, dan juga material seramik yang nampak sangat eksklusif. Bagi model aluminium, ia kini dilindungi lapisan Ceramic Shield 2 yang 60 peratus lebih tahan lasak berbanding kaca Ion-X pada generasi terdahulu.

Apple Watch Series 12 Rasmi Dilancarkan, Kini Boleh Tahu Tahap Kelesuan Dan Tenaga Badan Anda

Dengan paduan kecerdasan Siri AI yang lebih faham konteks peribadi serta algoritma penjejakan langkah paling tepat, jam pintar terbaharu ini sememangnya satu pelaburan yang sangat berbaloi untuk menyokong kelangsungan gaya hidup anda yang lebih sihat.