Pemain sayap muda negara, Arif Aiman Mohd Hanapi menandatangan kontrak lanjutan bersama juara 10 kali saingan Liga Super iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT).

Perkara ini diumumkan pihak kelab dimana pemain itu dilihat menandatangani kontrak baharu sambil diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab iaitu Alistair Edwards baru-baru ini.

Baca Juga:

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Arif Aiman Hanapi telah melanjutkan kontrak selepas musim 2023 yang mengagumkan di mana pemain muda itu menjaringkan 24 gol dan melakukan 19 bantuan jaringan.

“Arif yang berusia 21 tahun memenangi anugerah Pemain Paling Bernilai musim 2021 dan 2022 melakukan debut dengan skuad senior pada Mac 2020. Arif menyertai Akademi JDT pada 2018 dan dinaikkan pangkat dari pasukan JDT IV, JDT III dan JDT II hingga ke skuad senior,” dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan pihak kelab.

Meskipun tidak mendedahkan tempoh kontrak baharu, Arif dilaporkan menandatangani kontrak sehingga tahun 2028 pemain itu dijangka sekali lagi dipilih sebagai Most Valuable Player (MVP) buat kali ketiga.

Selain menjaringkan 24 gol dalam kesemua kejohanan musim ini, Arif turut membantu JDT memenangi empat kejuaraan dalam saingan liga domestik sekaligus mengulangi pencapaian musim lalu.

JDT memulakan saingan dengan menewaskan Terengganu dalam aksi Piala Sumbangsih dengan keputusan 2-0. Kemudiannya skuad kendalian Esteban Solari itu menewaskan Kuala Lumpur City dalam perlawanan akhir Piala FA dengan keputusan 2-0.

Skuad Harimau Selatan memenangi gelaran Liga Super ke-10 mereka dan menutup saingan musim ini dengan kejayaan memenangi Piala Malaysia dengan menewaskan Terengganu FC dengan keputusan 3-1 dalam perlawanan akhir.