Terjerat PayLater, artis popular Indonesia berkongsi pengalaman tidak enaknya di media sosial, terutama sekali dikejar debt collector yang disifatkannya seperti samseng.
Nana Mirdad terkejut kerana penggunaan BNPL atau PayLater yang dia gunakan ternyata mempengaruhi skor kreditnya di Bank Indonesia.
Melalui Instagram Story miliknya, Nana mengaku tidak tahu bahawa menggunakan PayLater boleh memberi kesan terhadap skor kredit.
“Saya baru tahu, semua transaksi dan penggunaan PayLater direkod oleh SLIK (Sistem Layanan Informasi Kewangan) Bank Indonesia, dan boleh menjejaskan skor kredit kita,” tulis Nana dalam siaran IG rasminya.
Nana turut menyatakan bahawa dia terkejut apabila mengetahui rekod pinjaman atau penggunaan PayLater disimpan dalam sistem BI dan boleh mempengaruhi kelayakan pinjaman bank pada masa depan.
“Saya gunakan PayLater hanya beberapa kali, tapi semuanya ada tercatat. Bila nak buat pinjaman besar, rekod ni boleh jadi pertimbangan bank,” jelasnya lagi kepada umum.
Pelakon tersebut mengingatkan para pengikutnya untuk lebih berhati-hati dan bijak menggunakan perkhidmatan seperti PayLater, terutama sekali jika merancang untuk membuat pinjaman bank di masa depan.
Artis popular Indonesia Terjerat PayLater
Pada awalnya, Nana Mirdad mengaku tertarik menggunakan PayLater kerana menyangka ia hanya sebuah kemudahan praktikal, dan bukan sejenis pinjaman bank.
Namun dia silap. Ternya BNPL yang dia gunakan itu adalah persis pinjaman bank yang turut ada debt collector atau pemungut hutang.
“Sejujurnya, pada awalnya saya tertarik sebab saya fikir ini adalah satu kemudahan yang baik, untuk memudahkan kita buat bayaran, terutama bila saya nak tambah nilai (top up) dan kerana sedang terburu buru.
“Tak pernah terfikir ini macam pinjaman dalam talian. Lagipun dari aplikasi yang boleh dipercayai,” tulis artis popular Indonesia, Nana Mirdad.
Macam samseng
Namun dia kemudian kecewa dan mengeluh dengan cara BNPL tersebut menagih hutang dengan cara terlalu agresif. Ini termasuk diganggu melalui mesej WhatsApp secara berterusan oleh pihak pemungut hutang.
Dia malah menganggap pemungut hutang tersebut seperti samseng.
“Tapi biasalah, kadang-kadang kita manusia tak sempat top up dan akhirnya terpakai juga. Kadang kadang IDR800 ribu (RM250), kadang kadang IDR1 juta (RM300 lebih).
“Bukan tertunggak sampai banyak sangat pun. Tapi kali ini sampai mereka ganggu di WhatsApp… Baru saya tahu daripada anda semua rupanya ini memang bentuk pinjaman dalam talian yang sah, dan bahayanya apabila ia sah, mereka ada akses penuh untuk rosakkan rekod kredit kita di Bank Indonesia.”
“Bayangkan kalau yang menagih macam ni gayanya, mesti laporannya ke Bank Indonesia pun jadi huru-hara, ikut suka mereka je. BOOM! Tak mahulah.”
Lebih mengejutkan, Nana menyatakan bahawa dia tidak pernah berniat untuk membuat pinjaman—namun kerana istilah PayLater, dan dia akui sudah terjerat dengan ‘nama’ PayLater.
“Tak pernah ada niat pun nak pinjam duit [dari Bank]. Tapi rupanya cara layanan memang macam dah terjerat pinjaman online.
“Dalam aplikasi itu pun, fungsi pinjaman dan PayLater berasingan… Tapi nampaknya fungsinya serupa. Memang kena lebih berhati-hati ya,” tegas artis popular Indonesia itu lagi.
Selepas berkongsi pengalamannya, Nana menerima banyak mesej daripada orang ramai yang menghadapi situasi serupa.
Ini membuatkan dia lebih nekad dengan keputusannya untuk bersuara demi memberi amaran kepada orang awam.
“Ramai betul yang DM saya, terjerat benda yang sama dan dilayan macam tu juga.
“Sebab itu saya ambil keputusan untuk berkongsi, mudah-mudahan berguna. Apa pun, seboleh mungkin elakkan pinjam atau guna yang jenis online ni ya… Top up saja [e-wallet], atau guna kad kredit kalau ada. Lebih selamat.”