Presiden baru Amerika Syarikat, Donald Trump, dalam ucapan perasmian beliau di Capitol Hill, menegaskan perubahan dasar yang akan memengaruhi hak gender, kepelbagaian, dan penyertaan kaum di peringkat kerajaan persekutuan, lapor Malay Mail.
Dengan nada yang tegas, Trump menyatakan bahawa dasar baru ini akan menghentikan program-program kepelbagaian jantina dan secara rasmi hanya mengiktiraf dua jantina: lelaki dan wanita.
“Mulai hari ini, dasar rasmi kerajaan Amerika Syarikat bahawa hanya terdapat dua jantina, lelaki dan perempuan,” kata Trump dalam ucapan beliau.
Langkah ini dijangka mencetuskan kontroversi, dengan pelbagai pihak menjangka ia bakal berdepan cabaran undang-undang yang besar.
Trump menjenamakan inisiatif ini sebagai “revolusi akal sehat,” dengan mendakwa bahawa dasar kepelbagaian jantina selama ini adalah bentuk kejuruteraan sosial yang mendiskriminasikan kaum kulit putih, terutamanya lelaki.
Salah seorang pegawai kanan Rumah Putih yang ditemui media sebelum perasmian menyatakan bahawa Trump akan mengeluarkan perintah eksekutif untuk menghentikan semua program kepelbagaian dalam kerajaan persekutuan.
Pegawai tersebut turut mengesahkan bahawa dokumen rasmi kerajaan akan dikehendaki mengiktiraf “jantina secara tepat,” tetapi tidak memperincikan sama ada ini bermaksud jantina yang ditetapkan semasa lahir.
“Kerajaan persekutuan tidak akan lagi mempromosikan ideologi gender,” katanya.
Tambahan lagi, polisi ini juga akan menghapuskan pengiktirafan jantina ketiga seperti simbol “X” yang kini digunakan pada pasport Amerika.
Sepanjang kempen pilihan raya beliau, Trump secara lantang menyerang hak komuniti transgender.
Ini termasuk rancangan untuk melarang rawatan peralihan jantina untuk kanak-kanak bawah umur dan mengambil tindakan undang-undang terhadap doktor atau pendidik yang terlibat.
“Ini adalah seks yang tidak boleh diubah, dan ia berakar pada realiti yang tidak dapat dipertikaikan,” ujar pegawai Rumah Putih.
Pengumuman ini telah mencetuskan kebimbangan besar dalam komuniti LGBTQ+.
Menurut Pengarah LGBT National Help Center, Aaron Almanza, talian bantuan mereka menerima sehingga 2,000 panggilan sehari sejak keputusan pilihan raya diumumkan, berbanding purata 300 panggilan sebelum ini.
Retorik anti-trans Trump sering kali menjadi bahan utama kempen pilihan raya beliau, yang disambut sorakan di kalangan penyokongnya.