Presiden terpilih Amerika Syarikat, Donald Trump, sekali lagi mencetuskan kontroversi dengan kecaman pedas terhadap kumpulan negara BRICS.
Dalam satu kenyataan di platform media sosial miliknya, Trump mengancam untuk mengenakan tarif sehingga 100% terhadap negara-negara anggota BRICS jika mereka cuba lari dari dolar AS, lapor AP.
Kumpulan negara BRICS telah lama menyatakan niat untuk mengurangkan pergantungan terhadap dolar AS, yang terus mendominasi perdagangan global sebagai mata wang simpanan utama.
Rusia, khususnya, aktif mendorong inisiatif untuk mengekang kuasa dolar, dengan Presiden Vladimir Putin sebelum ini menuduh AS “mempersenjatai” mata wang tersebut untuk kepentingan politik.
Trump, yang terkenal dengan sikap agresifnya, menegaskan bahawa AS tidak akan sekadar berdiam diri melihat BRICS mencabar dominasi dolar.
“Gagasan bahawa Negara-Negara BRICS cuba menjauh dari Dolar sementara kita hanya berdiam diri dan menonton sudah BERAKHIR,” tulisnya.
Beliau juga memberi amaran bahawa negara-negara BRICS yang mempertimbangkan untun mencipta “Mata Wang BRICS baharu” atau menyokong mata wang lain akan dikenakan tarif 100% dan dihalang daripada menikmati akses ke pasaran AS.
Selain kecaman terhadap BRICS, Trump turut meluaskan ancamannya kepada tiga rakan dagang utama AS — Kanada, China, dan Mexico — dengan mengancam mengenakan tarif 25% atas sebab-sebab seperti isu narkotik dan migrasi.
Ancaman ini mencetuskan reaksi kurang senang daripada pemimpin-pemimpin dunia.
Sebagai sebuah negara yang baru menyertai BRICS, Malaysia berdepan cabaran baharu di tengah-tengah ketegangan ekonomi global.
Dalam era Trump yang agresif terhadap perdagangan, pakar-pakar ekonomi telah memberi amaran bahawa negara-negara kecil seperti Malaysia perlu berhati-hati dalam mengimbangi hubungan antara BRICS dan AS, terutamanya dalam perdagangan eksport dan pelaburan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini menyatakan bahawa penyertaan Malaysia dalam BRICS adalah penting untuk membuka pasaran baharu ekonomi.
Bagaimanapun, ancaman tarif oleh Trump berpotensi memberi kesan kepada eksport utama Malaysia seperti peralatan elektronik dan produk sawit, jika hubungan dengan AS tidak dikekalkan secara strategik.