Pada hari Selasa lalu, Suruhanjaya Perdagangan Antarabangsa AS (USITC) mengumumkan keputusannya berhubung lambakan import panel solar murah dari empat negara Asia Tenggara syang mana telah menjejaskan atau memberi ancaman terhadap pengeluar panel solar di Amerika Syarikat.
Keputusan ini secara efektif membawa AS selangkah lebih dekat untuk mengenakan tarif atau duti yang tinggi ke atas produk-produk tersebut.
Seramai tiga anggota Suruhanjaya Perdagangan Antarabangsa AS (USITC) bersetuju dalam cadangan tarif itu sekaligus Jabatan Perdagangan AS akan mengeluarkan arahan untuk mengenakan tarif imbalan (countervailing duties) dan anti-lambakan (anti-dumping duties).
Empat negara di Asia Tenggara bakal terjejas

Tarif ini akan dikenakan ke atas produk solar yang diimport dari Malaysia, Thailand, Kemboja, dan Vietnam, seperti yang telah dimuktamadkan oleh agensi tersebut bulan lepas.
Keputusan undian ini menyelesaikan kes perdagangan yang telah berlarutan selama setahun.
Dalam kes ini, pengeluar di Amerika Syarikat menuduh syarikat-syarikat China telah melambakkan produk tersebut di pasaran AS pada harga yang terlalu murah melalui kilang-kilang mereka di Asia Tenggara.
Sejak dari waktu itu, Presiden Donald Trump telah melaksanakan strategi yang lebih meluas untuk mengenakan tarif ke atas produk-produk import.
Tujuannya adalah untuk melindungi pengeluar barangan buatan AS dan industri domestik mereka.
Jabatan Perdagangan AS tidak boleh mengenakan tarif melainkan Suruhanjaya Perdagangan Antarabangsa (ITC) mendapati bahawa industri domestik (AS) telah terjejas atau diancam oleh persaingan asing yang menerima subsidi tidak adil atau menjual produk pada harga terlalu rendah (melambak) di pasaran AS.
Keputusan undian ITC ini disiarkan dalam satu notis ringkas di laman web mereka. Bagaimanapun, tidak jelas dengan serta-merta bagaimana setiap pesuruhjaya mengundi.
Kes perdagangan ini telah dimulakan tahun lalu oleh syarikat-syarikat seperti Hanwha Qcells dari Korea, First Solar Inc yang berpangkalan di Arizona, serta beberapa pengeluar kecil lain.
Mereka berbuat demikian dalam usaha untuk melindungi pelaburan bernilai berbilion dolar dalam pembuatan panel solar di AS.
Kenyataan Peguam dan Reaksi Industri Solar AS

Menurut Tim Brightbill, peguam utama bagi kumpulan pempetisyen, American Alliance for Solar Manufacturing Trade Committee, keputusan undian pada Selasa lepas sangat jelas.
Beliau menyatakan bahawa syarikat-syarikat berpangkalan di China telah melanggar undang-undang perdagangan dengan membanjiri pasaran AS dengan panel solar yang terlalu murah, dilambak, dan disubsidi secara tidak adil.
“Perbuatan ini terus berlanjutan dari pasaran pihak ketiga di seluruh dunia, sekali gus menjejaskan strategi industri AS dan merencatkan pelaburan baharu,” kata Brightbill.
Beliau menegaskan bahawa keadaan ini tidak boleh dibiarkan. “Industri Amerika kita yang sedang berkembang dan kini berhak mendapatkan peluang untuk bersaing secara adil,” tambahnya.
Kebanyakan panel solar yang dipasang di Amerika Syarikat diimport dari Asia.
Pada tahun 2022, Akta Pengurangan Inflasi (Inflation Reduction Act) oleh bekas Presiden Joe Biden, iaitu undang-undang perubahan iklim utamanya, telah mewujudkan kredit cukai untuk pembuatan tenaga bersih.
Sejak itu, lebih daripada 100 kilang solar baharu telah diumumkan atau diperluaskan, menurut kumpulan perdagangan American Clean Power Association.
Namun begitu, Solar Energy Industries Association (SEIA), sebuah kumpulan perdagangan solar terkemuka di AS, berpendapat bahawa tarif baharu ini sebenarnya akan merugikan pengeluar domestik.
Ini kerana ia akan meningkatkan kos bagi pembeli panel.
“Keputusan Suruhanjaya Perdagangan Antarabangsa AS (USITC) pada Selasa adalah membimbangkan bagi pengeluar solar Amerika dan keseluruhan industri solar AS,” kata Presiden SEIA, Abigail Ross Hopper, dalam satu kenyataan.
Penentuan keputusan muktamad oleh USITC ini menambah lapisan tarif tambahan yang akan meningkatkan kos produk solar yang diperlukan oleh syarikat-syarikat Amerika untuk membina projek dan mengembangkan pembuatan domestik.