Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), telah memperkenalkan RIA, satu ciri baharu dalam aplikasi myASNBnya, yang direka untuk menjadikan pelaburan mudah dan boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia.

RIA, atau Penasihat Pelaburan Robo (Robo Investment Advisor), dilancarkan dengan tujuan untuk menangani cabaran umum apabila membuat keputusan pelaburan selain memperkasakan individu dari semua lapisan masyarakat untuk mengawal dan bertanggungjawab terhadap masa depan kewangan mereka dengan pengalaman pelaburan yang mesra pengguna dan diperibadikan.

Baca Juga:

“Kami teruja untuk memperkenalkan RIA dalam pasaran Malaysia, menandakan satu langkah penting ke arah menjadikan pelaburan lebih inklusif dan mudah diakses oleh pelanggan kami. Inisiatif ini jelas mencerminkan matlamat baharu PNB ‘untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi’,” kata Muzzaffar Othman, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB.

Encik Muzzaffar Othman, Ketua Pegawai Eksekutif & Pengarah Eksekutif ASNB

Dengan RIA, ASNB menyasarkan untuk memudahkan pelaburan dengan menawarkan portfolio yang diperibadikan dan mengautomasikan transkasi utama seperti deposit berulang melalui ciri Auto Laburnya.

RIA menangani isu-isu penting seperti literasi kewangan, pelaburan minimum yang tinggi, dan akses kepada nasihat profesional.

Bermula dengan deposit minimum sebanyak RM100, RIA bukan sahaja memenuhi keperluan pemegang unit ASNB sedia ada tetapi juga mengalu-alukan pelabur kali pertama dengan bajet yang lebih kecil, menawarkan yuran yang telus dan proses pelaburan yang mudah.

Disesuaikan dengan pelabur Malaysia, RIA menyokong kaedah pembayaran tempatan yang popular dan tersedia dalam kedua-dua Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris untuk kemudahan penggunaan.

Selain itu, pelabur yang membuka portfolio RIA melalui aplikasi myASNB akan menikmati pengecualian yuran pengurusan RIA (yuran wrap) sebanyak 0.30% setahun sehingga 31 Disember 2024.

Dilesenkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebagai Pengurus Pelaburan Digital, ASNB berhasrat untuk mentakrifkan semula nasihat pelaburan dengan RIA, menyediakan penyelesaian yang mudah dan inovatif untuk pelabur Malaysia.

Pelancaran RIA sebagai ciri baharu dalam aplikasi myASNB akan dilaksanakan secara berperingkat dalam beberapa minggu akan datang. Untuk maklumat lanjut tentang RIA, layari portal ASNB di www.asnb.com.my.