Selepas menerima sambutan hangat pada tahun lalu, Atas Angin Festival kembali pada tahun ini. Kemunculan semula festival muzik yang bakal berlangsung pada 5 Ogos ini lebih luar biasa dan tidak seperti tahun lalu.

Kali ini, Atas Angin Festival menampilkan 75 barisan artis tempatan dan empat pentas yang akan menampilkan persembahan-persembahan hebat, pada hari yang sama. Ini merupakan konsep luar biasa yang cuba dibawakan oleh Atas Angin MY.

Tidak keterlalun jika dikatakan Atas Angin Festival 2023 bersedia untuk melakar sejarah sebagai festival indie terbesar di Malaysia. Bakal diadakan di Rooftop @ level 7 Mytown Cheras, festival ini dibahagikan kepada tiga kategori persembahan iaitu artis berkumpulan, artis solo dan juga DJ.

Antara barisan artis yang bakal menggegarkan festival ini ialah IamNEETA, 6ixth Sense, Skudap Skudip Kugiran Masdo dan ramai lagi.

Atas Angin Festival bakal membawa pembaharuan dan bersedia menggalas tanggungjawab dalam membawa musik dan artis lokal Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi.

Dalam pada itu, festival ini akan berlangsung selama 15 jam tanpa henti yang akan bermula pada pukul 9 pagi sehingga acara tamat.

Mengulas mengenai Festival Atas Angin 2023, Pengarah Projek, Arif Imran atau lebih dikenali sebagai Bam berkata, pihak penganjur menjanjikan yang terbaik kepada para pengunjung dan bakal memberi kepuasan maksima kepada semua.

“Besar harapan kami agar festival ini dapat dilaksanakan dan dijayakan. Saya sebagai wakil pihak penganjur merasakan bahawa festival ini akan memberi impak kepada barisan artis lokal, selain dapat membuka mata pengunjung tentang bakat-bakat yang ada di negara kita.

“Saya juga berharap usaha dan mesej yang kami bawa menerusi festival ini nanti sampai kepada masyarakat, iaitu, untuk membuktikan bahawa ‘underground scene’ juga mempunyai ramai bakat besar dan luar biasa yang hebat.

Mengulas mengenai jualan tiket, Bam berkata, setakat ini hampir separuh tiket terjual sebaik sahaja pengumuman mengenai festival ini dihebahkan.

Jualan tiket kini berada di fasa kedua dan kepada yang masih belum mendapatkan tiket, boleh dapatkan di laman Instagram mereka dengan harga serendah RM150 bagi ahli dan RM 170 bagi yang bukan ahli.