Kuala Lumpur (KL) Thunder membuktikan kejaguhan dengan muncul juara Emas Anuar Sepak Takraw League (STL) 2024 bagi Grand Prix (GP) Selangor selepas berjaya menundukkan Perak Bison 2-0 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam sebentar tadi.

Membariskan Syahir Rosdi selaku tekong, Azlan Alias (apit kanan) dan Amirul Zazwan Amir (apit kiri), KL Thunder jelas di kelas tersendiri untuk memenangi permainan terutamanya pada set pertama.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Baca Juga:

Aksi kemas ditampilkan trio berpengalaman itu jelas membuatkan Perak Bison yang diwakili tekong, Kritsada Sungvung (digantikan dengan Meor Zulfikar Mat Amin), Muhammad Noraizat Nordin (apit kanan) dan Aidil Aiman Azwawi (apit kiri) berada dalam tekanan.

Ia jelas dibuktikan dengan servis-servis menarik dijelmakan Syahir dan rejaman Azlan memberikan kemenangan mudah 15-7 buat KL Thunder di set pertama.

Set kedua menyaksikan sedikit saingan diberikan oleh Perak dengan kemasukan apit kanan, Treepong Rawangpai tetapi ia masih belum cukup untuk menghalang kemenangan KL Thunder dengan jurang mata 15-12.

Dengan kemenangan itu, KL Thunder selaku juara GP Selangor mengutip 32 mata manakala Perak Bison pula membawa pulang 24 mata.

Sementara itu, Selangor Pistons muncul pemenang tempat ketiga selepas menewaskan PDRM Defenders 9-15, 15-9, 15-4. Selangor Pistons mendapat 19 mata manakala PDRM Defenders pula dengan 16 mata.

Berakhirnya GP Selangor yang merupakan pembuka tirai saingan STL 2024, tumpuan selepas ini akan terarah ke GP Terengganu dimana bakal berlangsung pada 24 hingga 28 September di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu.