Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mendominasi saingan bola sepak tanah air selepas menjuarai Piala Malaysia 2023 hasil kemenangan 3-1 ke atas Terengganu di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

JDT yang memburu kejuaraan keempat serta kedua berturut-turut tidak perlu menunggu lama apabila berjaya membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi Bergson da Silva.

Baca Juga:

Gol tersebut menjelma hasil sepakan penalti selepas pengadil perlawanan, K. Logeswaran mendakwa Azam Azmi Murad mengasari Fernando Forestieri.

Sudah mula menyerap dengan baik tekanan diberikan JDT, pemain Terengganu sesekali mencuri ruang untuk melakukan ancaman ke kubu juara bertahan itu.

Tekanan yang diberikan Ivan Mamut ketika perebutan bola di udara memaksa Jordi Amat melakukan kesilapan dengan mengasari penyerang tersebut dalam kawasan penalti.

Logeswaran pada mulanya tidak mengendahkan situasi itu kemudiannya menukar keputusan dengan memberikan sepakan penalti buat Terengganu.

Mamut yang mengambil sepakan pada minit ke-21 tidak berdepan masalah untuk menewaskan Ahmad Syihan Hazmi bagi kembali menyamakan kedudukan.

Tersentak dengan jaringan itu, JDT memperkemaskan aksi dengan lebih tersusun untuk mencipta beberapa peluang berbahaya.

Tetapi, percubaan padu dari jarak jauh diledakkan Bergson pada minit ke-34 diselamatkan Suhaimi manakala percubaan Heberty Fernandes ketika menerima hantaran ‘cutback’ Arif Aiman Mohd Hanapi berselang 10 minit kemudian dalam kawasan penalti sekadar melewati palang gol.

Bersambung babak kedua, Suhaimi sekali lagi diuji melalui percubaan daripada luar kawasan penalti, namun beliau lebih bersedia untuk menepis rembatan daripada Bergson itu.

Skuad kendalian Tomislav Steinbruckner mendapat peluang terbaik pada minit ke-65 apabila sepakan percuma Nurillo Tukhtasinov terus mencari Mamut yang tidak dikawal berada dalam kawasan penalti.

Bagaimanapun, percubaan dilakukan penyerang berusia 26 tahun itu dinafikan dengan cemerlang Ahmad Syihan bagi menyelamatkan gawangnya.

Pemain gantian, Feroz Baharuddin membalas kepercayaan Esteban Solari apabila tandukannya selepas menerima hantaran sepakan penjuru Heberty berjaya menewaskan Suhaimi pada minit ke-73.

Meskipun Terengganu giat mencari jaringan penyamaan, JDT nyata belum berpuas hati dengan kelebihan tersebut dan terus memburu gol untuk mematikan api perjuangan lawan.

Jaringan dicari skuad Harimau Selatan itu hadir pada masa kecederaan selepas Arif Aiman menyempurnakan sepakan penalti untuk mengesahkan Piala Malaysia 2023 menjadi milik mereka.

Kejayaan manis yang dilakarkan itu menyaksikan empat piala telah  dijulang oleh skuad utama JDT pada musim ini.

Barisan pemain JDT:

Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Matthew Thomas Davies, Jordi Amat Maas, Shane Lowry (Muhamad Feroz Baharudin), La’Vere Lawrence Corbin-Ong (Muhammad Syahmi Safari), Nathaniel Shio Hong Wan, Mohd Afiq Fazail (Safiq Rahim), Arif Aiman Mohd Hanapi, Bergson Gustavo Silveira Da Silva, Heberty Fernandes De Andrade & Fernando Martin Forestieri (Natxo Insa)

Barisan pemain Terengganu:

Mohd Suhaimi Husin, Azam Azmi Murad, Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili, Muhammad Safwan Mazlan, Habib Haroon Haroon Saeed (Muhammad Syaiful Haqim Shahrul), Nurillo Tukhtasinov (Liridon Krasniqi), Mohd Nor Hakim Hassan (Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim), Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob @ Engku Azman (Adisak Kraisorn), Sony Norde & Ivan Mamut